'JANGAN BERDENDAM, KONGSI REZEKI DENGAN ORANG LAIN' RAHSIA KEJAYAAN WARUNG TELAGA KUALA KANGSAR

Untuk membina perniagaan bukanlah satu perkara mudah. Hakikatnya, jika tidak mahu mencuba atau berani menempuh cabaran, belum pasti kejayaan akan dikecapi.


Berikut adalah kisah inspirasi dan nasihat daripada pengusaha laksa tempatan yang wajar dijadikan contoh buat anda yang mahu berjinak-jinak dalam dunia perniagaan.


Mohd Azami, pemilik Warung Telaga di Kuala Kangsar


Mohd Azami Mohd Said, 68, pemilik Warung Telaga di Kuala Kangsar memulakan perniagaannya sekitar tahun 2016. Warung Telaga sangat terkenal dalam kalangan penduduk tempatan, malah pengunjung dari luar dan pelancong asing juga memilih untuk berkunjung ke sini kerana suasananya yang cukup santai dan menyenangkan dikelilingi permandangan sawah dan kelapa sawit.


Warung Telaga diaspirasikan namanya daripada telaga kepunyaan arwah ibunya yang sudah berusia 100 tahun lebih. Azami meletakkan barang-barang lama kepunyaannya disekeliling warung sebagai simbolik perniagaannya; iaitu warung yang bersifat 'retro'. Tembaga-tembaga akan diisi dengan air kerana masih boleh digunakan. Beliau juga memanfaatkan barang-barang lama miliknya seperti kamera, alat muzik, pinggan kaca, barangan tentera dan lain-lain untuk dijadikan perhiasan di warung.



Telaga tahun 1926

"Orang sekarang suka dengan barang-barang lama, jadi saya memanfaatkan barang kepunyaan saya dan meletakkannya di warung. Kemudian, mana-mana anak muda yang tak pernah melihat barang-barang lama mereka jadi teruja untuk tengok", katanya.







Koleksi barang lama kepunyaan Mohd Azami yang dijadikan perhiasan di Warung Telaga

Mohd Azami juga merupakan bekas tentera laut (Navy) dan berhasrat memulakan perniagaan setelah pencen daripada kerjaya Jabatan Kerja Raya (JKR). Dengan pengalaman yang dimilikinya sebelum ini dalam dunia perniagaan serta trademark Kuala Kangsar yang terkenal dengan laksa menginspirasikannya untuk mengusahakan laksa.


Warung Telaga pada mulanya hanya menyajikan laksa dan mi Pak Abu, namun setelah perniagaan mendapat perhatian secara meluas, pelbagai menu ditambah seperti roti puri, mi kari, bakso, sup, keropok lekor, cucur udang, meatball dan pelbagai menu lain lagi. Malah, laksa telur sarang juga telah divariasikan dengan tambahan seperti laksa fishcakes dan laksa special.






Waktu operasi perniagaan Warung Telaga bermula jam 2 petang sehingga 8 malam dan cuti selama dua hari iaitu pada hari Khamis dan Jumaat.


Bantu orang lain


Selain ingin memanfaatan kehidupan selepas pencen dengan dunia perniagaan, Mohd Azami juga ingin mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.


"Niat saya nak berkongsi rezeki, nak bantu anak muda, ibu tunggal ada peluang pekerjaan selepas terkesan dengan pandemik baru-baru ini".


Para pekerja dibayar gaji dengan cukup tinggi dan beliau tidak tamak dalam mengait keuntungan kerana baginya lebih baik jika dikongsikan. Sebahagian keuntungan juga akan disalurkan kepada dana bantuan supaya perniagaan lebih mendapat barakah. Beliau juga amat menekankan disiplin kepada mereka semasa bekerja untuk menjaga imej dan reputasi perniagaan.


Cabaran perlu dihadapi dengan tenang


Antara cabaran yang perlu dihadapi sepanjang mengusahakan gerai laksa adalah kekurangan stok telur. Beliau tidak boleh membeli sepapan telur dengan banyak di mana-mana kedai kerana ada hadnya. Hal ini menjadi suatu kerisauan buat Mohd Azami kerana telur sangat penting dalam menu laksa. Disebabkan itu, beliau terpaksa berulang-alik ke Kuala Lumpur pada hujung minggu bagi mendapatkan stok telur dalam kuantiti yang banyak.


Selain itu, kerenah pelanggan semestinya tidak dapat dielakkan dalam dunia perniagaan. Menurut Mohd Azami, beliau sering berhadapan dengan pelanggan yang tidak sabar dan menyalahkan pekerja-pekerjanya sedangkan penyediaan makanan perlu berhati-hati tanpa melakukan kesilapan.


"Pesanan setiap orang lain-lain, kadang ada yang tak mahu sayur dalam laksa, tak mahu itu ini. Kami kena menyediakannya dengan teliti, tetapi bukanlah layanan kami perlahan".


"Kadang-kadang saya sampai terpaksa 'menyekolahkan' pelanggan. Kalau mahu makanan cepat sampai, kenapa datang ke tempat yang ramai orang. Pelanggan perlu faham bahawa penyediaan makanan bukan melibatkan satu proses sahaja. Malah, ada makanan yang perlu ditunggu untuk digoreng", tambahnya lagi.


Banyak lagi cabaran yang dihadapi tetapi Mohd Azami tidak marah dan berdendam. Sebaliknya akan meminta maaf dan membayar ganti rugi dalam keadaan tertentu. Hanya apabila kita merendah diri dan bertimbang rasa barulah wujud hubungan yang baik antara pelanggan.


Team Kuala Kangsar TV menemu ramah pemilik


Selain itu, ketika disoal bagaimana beliau menghadapi cabaran peningkatan ekonomi, beliau menangani isu kenaikan harga barang dengan baik. Kuantiti dan harga makanan sedaya upaya cuba direndahkan mengikut kesesuaian kerana memahami pelanggan yang datang rata-rata membawa keluarga dan pelajar-pelajar sekolah serta universiti. Sebolehnya mahu pelanggan mampu untuk menikmati makanan di warung miliknya.


Jangan berhutang


Perkara paling penting dalam mengusahakan perniagaan, Mohd Azami memberitahu bahawa individu yang ingin memulakan perniagaan, elakkan daripada berhutang kerana hutang menyebabkan hidup kesempitan dan rasa terbeban. Jika modal sikit, mulakan perniagaan dari kecil-kecilan sehingga mampu membuka perniagaan yang lebih besar. Sekiranya ada ruang di halaman rumah, manfaatkan dahulu aset yang ada.


"Apa-apa yang saya ada, saya gunakan balik tidak perlu berhutang ataupun beli kat luar. Jika ada barang lama atau barang yang sudah rosak yang orang lain tidak mahukan lagi saya akan baikpulih barang tersebut dan jadikan perhiasan di sini"'


Lebarkan sayap pasaran


Mohd Azami tidak bercadang mahu menambah cawangan dan hanya mahu kekalkan cawangan yang sedia ada walaupun perniagaannya mendapat sambutan yang tinggi. Hal ini kerana, lokasi sekarang yang terletak di Kota Lama Kiri lebih banyak kelebihannya dan strategik selain faktor tidak mahu menambah beban. Lagi pula, laksa merupakan simbolik kepada Kuala Kangsar. Lebih baik jika pengunjung luar yang mahu merasakan 'laksa kuale' datang melawat ke Kuala Kangsar.


Suasana di tepi sawah


Menerusi perkongsian tersebut, jelaslah bahawa disiplin, tekad dan kesungguhan amat penting dalam mengusahakan perniagaan. Selain itu, kita janganlah bersikap tamak dalam mengejar keuntungan kerana berkongsi rezeki dan melihat raut wajah pelanggan yang senang hati adalah lebih menyenangkan sebagai seorang peniaga.


Harapan beliau, semoga diwujudkan persatuan peniaga laksa sekitar Kuala Kangsar supaya para pengusaha dapat bersepakat dengan berkongsi pendapat dan menangani isu yang melibatkan bekalan stok. Diharapkan juga Kuala Kangsar yang terkenal dengan 'laksa kuale' oleh pengunjung luar menjadi suatu daya tarikan yang unik dan menyebabkan pengunjung ingin tahu keistimewaan dan variasi 'laksa kuale'.

Comments

Popular posts from this blog

"Kisah Inspirasi: Dari peniaga online, kini memiliki dua buah restoran mewah di Kuala Kangsar"

Pakar Percetakan: Kualiti Keutamaan Abih Pikior

PERSIAPAN PESTA SUKAN AYOR KUALA KANGSAR