LOGHAT KUALE DENGAN PARIT PUN ADA BEZA? INGATKAN SAMA...

Pada kali ni, teman nak berceghita tentang loghat Perak pulak. Kita tak payah serius sangat, santai-santai je..teman tak guna tatabahasa yang cantik macam sebelum ni, sebabnya, kali ni teman nak ceghita dua loghat di Perak yang mana nampak macam sama, rupanya ada beza. Hah..daerah mana tu? Moh baca~

Peta pembahagian daerah di Perak


Seperti yang kita tahu, Perak merupakan negeri kedua terbesar di Semenanjung Malaysia dan mempunyai keunikan dari segi bahasa dialeknya. Disebabkan negeri Perak bersempadan dengan negeri lain, maka tidak hairanlah jika menerima pengaruh loghat negeri lain.


Misalnya penduduk Perak di bahagian utara (Kerian dan Larut Matang) seperti Bagan Serai, Taiping dan Parit Buntar sehingga Pantai Remis lebih terpengaruh dengan loghat Kedah dan fasih loghat utara. Di bahagian Hulu Perak iaitu Kroh, Grik dan Lenggong, masyarakat di kawasan ini banyak menggunakan loghat Patani. Ia menyebabkan dialeknya seakan-akan serupa dengan loghat Kelantan. Kawasan daerah Perak yang betul-betul mewakili dialek Perak ialah di daerah Parit dan Kuala Kangsar. Namun, pada tahun 1979, Parit dikeluarkan dari daerah Kuala Kangsar dan digabungkan ke dalam pentadbiran daerah Perak Tengah.


Makanya, pada kali ini kita akan melihat pula perbezaan antara dua loghat 'pior' negeri Perak ini.


Perak Tengah seperti Kuala Kangsar, Bota, Parit, merupakan loghat asli Negeri Perak yang selalu menggunakan bahasa ate, kome, pasior, mike, teman dan sebagainya. Dialek Parit agak berbeza sedikit dengan dialek Kuala Kangsar walaupun dalam sesetengah perkataan ada persamaannya.


Gambar: KPTM Ipoh (Youtube)


Untuk loghat Perak versi Kuale, hujung perkataan yang berakhir dengan huruf 'a' bukanlah berbunyi é taling (seperti: énak). Sebutan 'e' dialek Kuale adalah menggunakan kaedah sebutan e-pepet (seperti: emak). Contoh, 'kenapa' jadi 'kenape' atau 'ngape'.


Hah..kome paham ke idok? Ke udoh pening?


Gambar: orangperak.com


Berbeza pulak dengan dialek Parit menyebut Boté (botey) dengan sebutan e-taling. Contohnya, kalau kome layan ceghita P Ramlee tajuk "Nasib Do Re Mi" tu, hah macam itulah cara orang Bote bercakap. Pandéi-pandéi le kome sebut dengan bunyi "eyy" kat belakang ye.


"Ate, tak dipelaweyyy" kata si A.R Tompey


Kuale dengan Parit ni sekali dengor memang tak banyak jauh beza pun. Tapi masa deme ni duduk melabun (bersembang) masa itulah kita perasan cara bunyi yang berbeza.


Secara ringkasnya, slang dua loghat Perak ni hanya menukarkan akhiran setiap perkataan dan mempunyai cara bunyi yang berbeza. Contohnya;


Perkataan akhiran 'a', ia akan dibunyikan '-e'.

Kenapa - Kenape

Dipelawa - Dipelawe

Sila - Sile


Perkataan akhirannya 'ai' atau 'al' pula menjadi '~ey'

Ramai - Ramei

Sampai - Sampei

Kekal - Kekei (e-taling)


Perkataan akhiran 'ar' atau 'ur' akan dibunyikan 'or'. Contohnya;

Apa khabar - Ape kabor?

Besar - Besor

Hulur - Hulor


Jadi, inilah keistimewaan Negeri Perak. Dalam satu negeri pun loghat kami berbeza-beza. Kome yang bukan orang Perak jangan hairanlah pasei orang Perak ni tak sama slang. Udoh dikabo berapa kali pun ramai masih tanya soalan yang sama bila baru jumpa. Tapi memang tak dinafikan loghat kita unik dan santai betul sampaikan orang kata, orang Perak tak pernah 'serius'. Marah pun tak rupa sedang marah. Betul ke kome? Cer bagi pendapat kome pulak..

Comments

Popular posts from this blog

"Kisah Inspirasi: Dari peniaga online, kini memiliki dua buah restoran mewah di Kuala Kangsar"

Pakar Percetakan: Kualiti Keutamaan Abih Pikior

PERSIAPAN PESTA SUKAN AYOR KUALA KANGSAR