MISTERI TEROWONG MENORA - SEBUAH 'JAJARAN MAUT' ATAU SIKAP PEMANDU PUNCA KEMALANGAN?
Permandangan atas Terowong Menora. Foto--@siva_wwc |
Nama Terowong Menora pastinya tidak asing lagi dalam kalangan pemandu kenderaan kerana pembinaannya yang telah memendekkan perjalanan dari utara ke selatan sejauh 30 kilometer.
Terowong Meru-Menora yang dibina pada 1987 ini adalah terowong lebuhraya PLUS di Perak. Jaraknya adalah sepanjang 880 meter dan satu lagi sepanjang 830 meter. Ia enghubungkan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) antara Plaza Tol Ipoh dengan Kuala Kangsar merentasi Banjaran Keledang. Projek lebuh raya ini telah menelan belanja kos sebanyak $360 juta.
Pada 24 September 1987, DYMM Sultan Paduka Seri Sultan Azlan Muhibuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Yusuf Izzuddin Ghafarullahu-lahu Shah yang merupakan Sultan Perak pada ketika itu telah merasmikan pembukaan lebuh raya Ipoh ke Changkat Jering.
Sebenarnya, lebuh raya tersebut telah mula digunakan sejak 31 Ogos 1986 lagi iaitu sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara pada tahun tersebut. Ia merupakan lebuh raya kedua yang dikenakan bayaran tol di Perak selepas lebuh raya Slim River ke Tanjung Malim.
Gambar Fail |
Kedua-dua terowong adalah tidak sama panjang kerana sudut potongan pintu masuk dan keluar serta selekoh yang menjadi faktor kenapa panjangnya berbeza walaupun ianya sebelah menyebelah.
Disebabkan terowong ini berada di Banjaran Keledang, keadaan laluan lebuh raya di bawah agak curam dan berselekoh tajam untuk kedua-dua belah arah utara dan selatan.
"Fikirkan keselamatan diri, keluarga dan pemandu yang lain. Jangan terburu-buru agar kemalangan yang meragut nyawa dapat dielakkan," kata Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak, Superintendan, Superintendan Wan Jamil Wan Chik
Pemandu dinasihatkan agar menggunakan gear rendah semasa menuruni bukit melepasi terowong dan perlu lebih berhati-hati ketika melalui jalan raya yang curam serta mengelakkan daripada memandu secara berbahaya dan laju apatah lagi ketika menghampiri cerun dan selekoh berbahaya di sepanjang jalan di kawasan Terowong Menora.
Lebuh raya ini sering digelar sebagai jajaran maut kerana statistik kemalangan maut yang kerap berlaku disitu sepanjang tahun. Pemandu dinasihatkan agar sentiasa menggunakan gear rendah semasa menuruni selepas melepasi terowong di lebuh raya tersebut.
Malah, bila sebut sahaja Terowong Menora, secara automatik fikiran kita akan mula membayangkan kisah seram yang dipercayai ‘menghantui’ kawasan berkenaan. Adakalanya dikaitkan dengan puntianak yang berkeliaran, pocong, volkswagen kuning, dan skuter. Tapi seperti biasalah, kebanyakan versi telah ditambah ‘perisa’ untuk menyedapkan lagi cerita. Sebagai orang Islam, kita sentiasa dinasihatkan untuk memulakan sesuatu perkara dengan lafaz "Basmalah" dan tidak boleh celupar dan terlalu seronok (loghat Kuale nya ingka} di tempat-tempat yang kita tidak biasa mengikut pantang larang orang terdahulu.
Justeru, apa yang paling penting adalah mentaliti serta sikap pemandu itu sendiri sebenarnya. Kemalangan boleh dielakkan jika kita berhemah, tidak terburu-buru mencucuk kereta hadapan dan tidak berada dalam keadaan yang mengantuk.
IKUT SUKA...DUKA
IKUT RASA...BINASA
IKUT HATI...MATI
"INGATLAH INSAN TERSAYANG"
Comments
Post a Comment