"KADANG-KADANG, ORANG YANG TAK DISANGKA-SANGKALAH YANG DATANG TOLONG WAKTU KITA SUSAH BERBANDING.." - APIT WAN LEBO
Mengimbas kembali kisah kejayaan Apit Wan Lebo atau nama sebenarnya, Roshafeez Abdul Hamid, 40, seorang Youtuber dan juga pelakon dari Kuala Kangsar.
Apit Wan Lebo ketika ditemuramah oleh KKTV |
Kira-kira 3 tahun menempa nama dalam industri seni dan menjadi 'influencer' terkenal, Apit Wan Lebo meluahkan rasa syukur kerana karier yang dibina hingga kini mendapat tempat di hati peminat.
Menceritakan detik-detik permulaan menapak ke dunia "glamour", Apit berkata beliau memanfaatkan masa terluang semasa kerja membawa kren dengan memuatnaik video yang boleh memberi inspirasi dan teguran kepada orang lain.
Niatnya pada mulanya hanya buat untuk suka-suka namun tidak menyangkakan videonya mendapat perhatian pengguna media sosial sehingga videonya 'viral'. Malah, ramai yang menyokongnya untuk terus membuat content seperti itu. Disebabkan itu, Apit mula memuatnaik video yang topiknya kebanyakan dicadangkan oleh peminat-peminat menerusi ruang komen dan 'tag'.
Selepas namanya mula dikenali, Apit Wan Lebo mencuba nasib dengan menyertai ujibakat lawak yang diadakan di Kuala Lumpur.
"Tapi pada masa itu, saya hanya ada RM5 je, ujibakat tu kena bayar RM30", katanya yang mula bergenangan air mata apabila mengimbas kembali saat-saat sukar dalam hidupnya dahulu.
Kesempitan wang yang dilalui menyesakkan dadanya kerana ada keluarga yang perlu disara namun ada peluang yang menantinya untuk mengubah nasib hidup. Oleh itu, dia terpaksa buat pilihan yang sangat sukar.
"Memikirkan saya tidak ada wang yang cukup, saya melupakan hasrat menyertai ujibakat itu. Tapi, tiba-tiba seorang hamba Allah datang kepada saya dan bertanya sebab saya tidak mencuba ujibakat yang berlangsung.
"Bila dia dapat tahu keadaan saya, dia terus menghulurkan sejumlah wang dan menyuruh saya pergi ke ujibakat itu. Dia tidak mahu saya mensia-siakan peluang dan bakat yang saya ada kerana dia sangat yakin akan kebolehan saya," sambungnya lagi.
Berkat sokongan dan kepercayaan yang digenggam erat sepanjang ujibakat, Apit berjaya menamatkan ujibakat dengan merangkul kemenangan dan dinobatkan sebagai johan.
"Kadang-kadang orang yang paling dekat pun belum tentu tolong kita, sebaliknya orang yang tak disangka-sangka akan datang tolong dan nampak bakat yang kita ada,"
Hal tersebut sekaligus menjadi pencetus buat dirinya untuk melibatkan diri dalam dunia komedi, seterusnya menceburi bidang lakonan. Apit banyak memainkan watak komedi dalam drama dan filem seperti 'Dia Pengantinku', 'Bahulu Untuk Opah', 'Malaysian Ghost Stories', 'Potong', 'Dia Pilih Siapa' dan 'Geng 3 Dara' yang bakal ditayangkan pada tahun hadapan selama 13 episod,
Malah, bintang kelahiran Batu Gajah, Perak ini turut berkongsi panjang mengenai kisah hidupnya masa kini.
Menyedari bahawa dia tidak boleh bergantung kepada industri seni dan menjadi Youtuber semata-mata dalam melangsungkan hidup, Apit mengusahakan perniagaan iaitu sebuah gerai makan yang diberi nama "Kedai Mak Aku", terletak di Kampung Kledang di Kota Lama Kanan, Kuala Kangsar.
Ia merupakan simbolik kepada ibunya yang menjadi pencetus inspirasi Apit untuk memulakan perniagaan dan resipi makanan daripada ibunya sendiri.
Kedai Mak Aku milik Apit Wan Lebo |
Mengharungi sendiri jatuh bangun sepanjang mengusahakan bisnes, selain mengamati pengalaman orang lain menjentik rasa dan emosi tersendiri buat Apit setelah melalui pelbagai suka dan duka.
Dalam perniagaan semestinya tidak lari dari diuji dengan rasa hasad dengki manusia. Apit juga menceritakan bagaimana jatuhnya perniagaannya kerana berlaku gangguan seperti gerai sering nampak tutup oleh segelintir pelanggan walhal ia beroperasi seperti biasa. Walaupun telah berubat dan ikhtiar dengan banyak orang, keadaannya masih tidak pulih juga.
"Sampai satu tahap, saya rasa kecewa yang teramat, rasa mahu berhenti dari meneruskan bisnes tetapi dipujuk oleh mak saya. Dia suruh saya buat tak tahu, tetap bersabar dan berniaga macam biasa. Berkat kesabaran serta doa ibu bapa, perniagaan saya semakin pulih hari ke hari," katanya.
"Biasalah bila kita diatas dan semakin berjaya mesti ada orang yang suka dan ada yang tidak suka. Tapi semua yang terjadi atas kehendak-Nya juga. Dia yang mengizinkan walaupun perbuatan jahat.
"Bagi saya apa yang terjadi adalah untuk saya belajar dan sentiasa ingat Allah. Mungkin ia suatu pengajaran buat saya yang mana kita selalu mengharapkan orang lain bila ditimpa ujian. Kita selalu menggunakan khidmat bomoh sebagai 'pengantara' untuk merawat sihir tapi sebenarnya adalah lebih baik jika kita sendiri yang meminta (berdoa) tanpa menggunakan pengantara.
"Bila ditimpa kesusahan, kita akan berdoa bersungguh-sungguh dan meletakkan pengharapan sepenuhnya pada Allah, bukannya manusia. Rasa lebih dekat sebab kita mencari dan mengadu pada Dia. Doa kita juga jadi lebih 'direct'. Mungkin itulah yang Allah SWT mahukan" ulasnya lagi.
"Sama juga kalau kita suruh pengantara sampaikan cerita kepada orang lain, boleh jadi intipatinya dan maksudnya lain berbanding apabila kita sendiri yang menyampaikan sesuatu perkara, isinya lebih jelas dan tepat. Begitulah doa".
Malah dia juga berasa sangat bersyukur dengan kehidupan yang diberikan oleh Allah SWT. Apit menganggap kebencian, kecaman serta sokongan yang diterima sebagai satu peluang untuk membina kerjaya hidup.
"Jika mahu jadi terkenal, hati kena kuat sebab akan ada yang kecam, cemuh, marah dan tidak suka. Tapi kita kena kuat sebab ada individu yang berada di belakang menyokong kita. Kenapa perlu menyerah?.
Disebalik kejayaan seorang lelaki, ada perempuan yang menjadi tulang belakangnya.
"Dulu saya anggap ungkapan itu biasa je tapi bila dah melaluinya sendiri baru saya faham betapa bermaknanya kata tersebut".
Apit juga amat menghargai peminat-peminat yang sentiasa menyokong perjalanan seni dan memberikan peluang serta ruang untuk menghasilkan video komedi yang dapat menghiburkan orang lain.
"Tanpa kome, aku bukan siapa-siapa. Kalau kita ada kat atas tak perlu menyombong diri selepas dah berjaya sebab kita tak mampu ada diatas macam tu tanpa orang lain, iaitu peminat kita sendiri,".
Hidup ini seperti roda. Ada masa kita diatas, ada masa kita dibawah. Sebab itulah kita mesti sentiasa merendah diri tidak kira betapa hebatnya kita. Kita tidak tahu bila masa kita diuji dan tanpa sokongan orang lain kita mungkin tidak kuat mengharungi liku-liku kehidupan.
Justeru, kita tidak boleh menjadikan ujian sebagai penghalang untuk mencapai kejayaan, sebaliknya anggaplah ia sebagai suatu proses pelajaran hidup dan sumber kekuatan untuk ujian yang lebih mencabar pada masa hadapan. Biarlah kita menangis kerana kesusahan dan kegagalan dahulu, suatu hari nanti kita pasti menangis disebabkan kejayaan yang tak disangka-sangka.
Comments
Post a Comment