Raja Shahriman Latih Peminat Seni Tempa Besi di Kuala Kangsar


Raja Shahriman (kanan) bersama pengurus projek, Raja Annuar (tengah) dan artis arca


Raja Shahriman Raja Aziddin, 55, merupakan anak kelahiran Kuala Kangsar yang mempunyai lulusan Institut Teknologi MARA dalam bidang seni halus dan pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Institut Seni Lukis Malaysia di Kuala Lumpur.


Minatnya dalam seni arca mendorong beliau mempelajari seni tempa besi bersama dengan Pak Izam, seorang penempa besi tradisi di Kampung Padang Changkat, Kuala Kangsar selama 3 tahun sebelum menjadi pengarca sepenuh masa untuk memberi tumpuan kepada penghasilan karya seni.


Beliau terlibat dalam pembuatan karya seni logam selama lebih 25 tahun dan mungkin satu-satunya artis di Malaysia yang masih menggunakan kaedah penempaan besi untuk menghasilkan karya seni. 


Gambar Fail


Raja Shahriman bersama-sama dengan Raja Annuar telah mengusahakan sebuah projek dibawah ArtsFAS (Arts For All Season) dan disokong oleh Yayasan Hasanah iaitu 'Program Amali/Internship Kaedah Tempa Besi Bersama Raja Shahriman Aziddin' sejak 11 Oktober hingga 30 November ini memberi peluang kepada mana-mana artis seni halus dan arca untuk mengasah bakat dan menghasilkan karya untuk dipamerkan dalam pameran yang akan datang. 


Raja Shahriman (kiri) dan Raja Annuar (Kanan) ketika ditemubual


“Program ini menjadi platform untuk mereka memperkenalkan karya kreatif mereka.


“Rata-rata yang menyertai program ini adalah terdiri daripada mereka yang berminat dalam seni tempa besi dan mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang seni seperti Seni Bina dan Lukis, sehinggakan mereka mampu menghasilkan karya arca berdasarkan kreativiti sendiri tanpa bergantung kepada saya sepenuhnya,” katanya. 


"Ada juga beberapa pensyarah yang mengajar dalam seni halus datang ke sini dan menghasilkan karya mereka," tambahnya lagi.




Antara hasil karya seni arca yang akan dipamerkan Disember ini.

Menurutnya lagi, peserta program akan mempelajari pengenalan sifat bahan besi, bentuk dan ukuran tungku perapian, efisiensi penggunaan bahan, layout atau tata letak peralatan, bentuk dan ukuran peralatan yang digunakan serta cara-cara menggunakan peralatan dan teknik penempaan besi.


Raja Shahriman juga tidak menyangka bahawa projek yang julung kalinya diadakan mendapat sambutan daripada peminat seni tempa besi dan arca di pelbagai lapisan umur.


Justeru, beliau berharap agar para peserta dapat memanfaatkan program ini sebaik mungkin untuk menambah ilmu, mempelajari teknik penempaan besi serta menghasilkan karya arca sendiri.


Program seperti ini membolehkan peserta memperolehi kemahiran, mengembangkan bakat, nilai, pengetahuan, sikap dan amalan yang dikehendaki. Ia juga memperlihatkan bagaimana peserta dari pelbagai bidang akademik menghubung kait antara satu perkara dengan perkara yang lain membentuk satu karya. Ini sesuai dengan peranan pengarca itu sendiri dalam merakam segala pengalaman dalam kehidupan melalui perluahan rasanya ke dalam bentuk arca.


Hasil karya arca sepanjang program ini akan dipamerkan dalam satu pameran yang bakal berlangsung di sebuah hotel di Kuala Kangsar bermula 9 hingga 12 Disember ini dan dijangka bermula jam 9 pagi hingga 5 petang. Orang ramai yang berminat untuk berkunjung ke pameran ini bagi melihat dan membeli hasil karya para peserta program ini boleh melayari Facebook Pelita Hati bagi mendapatkan maklumat yang lebih tepat sekiranya berlaku perubahan waktu mahupun tarikh pameran.

Comments

Popular posts from this blog

"Kisah Inspirasi: Dari peniaga online, kini memiliki dua buah restoran mewah di Kuala Kangsar"

Pakar Percetakan: Kualiti Keutamaan Abih Pikior

PERSIAPAN PESTA SUKAN AYOR KUALA KANGSAR