ROTI LEMBUT DAN SEDAP..TAK KEDEKUT BAHAN RAHSIA KEJAYAAN ROTI & BUN
Kedai Roti & Bun baru sahaja membuka sebuah premis di Kampung Temong Hulu, Kati sejak bulan Ogos yang lepas. Kira-kira 20 aneka pilihan roti dan pencuci mulut yang dijual. Roti-roti disini boleh sava katakan antara yang terbaik yang pernah saya rasa kerana keenakan dan teksturnya yang lembut dan gebu.
Premis Roti & Bun yang terletak di Kampung Temong Hulu, Kati |
Roti & Bun sudah bertapak dalam perniagaan roti hampir 2 tahun yang mana sebelum ini mereka hanya membuka tapak niaga disitu sebelum membangunkan sebuah premis.
Pemilik, Muhd Haidi, 35, mengusahakan perniagaan roti di Kampung Temong bersama-sama dengan isterinya, Nora Azwin, 35, dan tujuh orang pekerja.
Tercetusnya idea mahu mengusahakan perniagaan roti, Muhd Haidi berkata ia adalah inspirasi dan hasrat dari arwah ibu mentuanya.
"Emak saya nak berniaga kat Chandan Putri tapi saya tak berani nak buat atas faktor usia dan jarak yang jauh. Kami mula berniaga dekat sini je untuk gembirakan dia. Namun, sebulan selepas itu beliau meninggal dunia dan kami meneruskan perniagaan yang diinspirasikan daripada arwah emak sehingga kini," katanya.
Antara produk roti dan kek yang boleh didapati disini ialah roti sosej, spicy tuna, peperoni bolognese, oreo bun, garlic bread, roti pandan kaya, roti kacang merah, red velvet tornado cake, cheesecake, choc truffle, mango cheesecake, donut, kek tapak kuda, durian crepe, buko, moktail, cha bang ang, puding sedut, banquet dan banyak lagi.
Aneka roti dan pencuci mulut keluaran Roti & Bun |
Muhd Haidi berkata roti yang dijual di kedai Roti & Bun menggunakan bahan dan resepi yang dicipta oleh isterinya yang sentiasa mempelajari teknik pembuatan roti yang betul. Nora Azwin juga merupakan lepasan Diploma Perniagaan dan berpengalaman mengusahakan bisnes kuih raya di Puchong selama 8 tahun.
“Sebelum ini kami menjual dan menerima tempahan biskut raya sahaja, kemudian saya mula terfikir untuk cuba beralih kepada pengusahaan roti dan kek.
"Isteri saya berkali-kali melakukan R&D semasa pembuatan roti sehingga mencapai rasa yang paling sedap dan memuaskan," jelasnya.
Semua produk buat sendiri dan tidak menerima pembekal luar
Semua produk roti dihasilkan oleh isteri dan pekerja-pekerja itu sendiri. Hal ini kerana Muhd Haidi sangat menjaga kualiti rasa setiap menu. Sekiranya mereka menerima pembekal dari luar, boleh jadi resipi dan rasanya tidak sama seperti produk keluaran Roti & Bun dan ia boleh memberi kesan kepada kedai mereka kelak.
"Ramai yang WhatsApp bertanya mahu meletak produk mereka disini, namun buat masa ini saya hanya ambil durian crepe sahaja yang dihantar setiap hari.
"Ia juga termasuk mana-mana gerai di Pekan Kuale yang mahu ambil produk kami. Buat masa ini kami belum mampu menambah kuantiti pengeluaran kerana produk di premis juga habis dijual dalam tempoh yang singkat sehingga kami terkejar-kejar menambah kuantitinya sampailah tutup waktu operasi perniagaan.
“Malah, roti yang dijual semua yang 'fresh', baru dibuat. Kami tidak jual yang semalam punya," tambahnya lagi.
Premis Roti & Bun boleh dikatakan jauh dari pekan dan terletak di kawasan kampung yang mana orang dari kawasan taman dan pekan merasa jauh untuk datang membeli. Apabila cuaca hujan, keuntungan juga merosot memandangkan pelanggan yang datang rata-ratanya dari kawasan itu juga.
Namun, Muhd Haidi yakin produk rotinya mempunyai keistimewaan tersendiri sebagaimana diakui oleh peminat-peminatnya.
Tekstur roti lebih lembut berbanding roti lain, ia mampu bertahan walaupun mempunyai banyak persaingan dengan produk roti keluaran syarikat terkenal.
Bagi pelanggan setia, Sabihah, 19, dia pasti tidak akan melepaskan peluang untuk mendapatkan roti setiap minggu dan akan menempahnya awal-awal daripada Muhd Haidi.
“Setiap kali saya hendak beli saya akan whatsapp pemilik terlebih dahulu untuk tempah siap-siap roti sebab bimbang habis dijual.
"Malah, bila saya balik ke Ipoh kawan-kawan mesti memesan dalam kuantiti yang banyak sebab mereka memang suka dengan roti keluaran Roti & Bun ini," tambahnya lagi.
“Roti ini memang sedap dan teksturnya lembut terutama ketika makan panas-panas. Oleh itu, saya akan beli tiga atau empat bungkus sekali datang,” kata pembeli dari Sg. Siput.
Kena berani mencuba dan kena ikhlas dalam berniaga
Muhd Haidi berkata selama dua bulan beroperasi, beliau tidak menyangka cubaan untuk mengusahakan perniagaan roti di kawasan itu mendapat sambutan yang menggalakkan bukan sahaja daripada penduduk setempat bahkan masyarakat dari daerah berhampiran.
"Perkara paling penting nak berjaya, jangan kedekut bahan. Kalau roti tu perlu letak 700g gula, 100g keju gunalah banyak itu juga. Kita ni (pengusaha roti) kena jaga kualiti supaya rasa tak rosak. Janganlah bila dah laku sikit, mula sikitkan bahan.
"Kita kena ikhlas supaya pelanggan suka dengan apa yang dikeluarkan, dan bila mereka berpuas hati maka sedar tak sedar dah wujud pelanggan setia di kedai kita" ujar Haidi ketika ditanya mengenai prinsip yang dipegang dalam mengusahakan perniagaan.
Untuk perancangan masa depan, Haidi hanya berhasrat meluaskan premis yang sedia ada dan tidak merancang berpindah atau buka cawangan di tempat lain.
"Kalau boleh jangan semua (perniagaan roti) padat dekat pekan. Kita buka disini biar penduduk kampung mudah dapatkan produk roti. Ia sekaligus membuatkan Kampung Temong mula dikenali dan akan membangun suatu hari nanti," katanya.
Secara peribadi, kualiti rasa produk roti yang dijual di Roti & Bun ini menepati citarasa dan piawaian saya. Saya agak terkejut apabila melihat pelanggan yang datang tidak putus-putus walaupun ia masih baru beroperasi dan rata-rata mereka semasa disoal memberi jawapan yang sama, iaitu roti sangat lembut dan sedap! Ini menunjukkan bahawa kedai ini semakin mendapat perhatian orang luar dan menepati selera mereka. Adakah berbaloi tekstur dan rasa aneka roti disini? Jawapan saya, pastinya YA! Amat disyorkan.
✰✰✰✰✰
LOKASI ROTI & BUN
KAMPUNG TEMONG HULU
KATI, KUALA KANGSAR
(KEDAI TEPI JALAN BESAR DARI SIMPANG JPJ MENGHALA KE KATI, BOLEH WAZE)
WAKTU OPERASI:
12.30 - 7.30 PETANG (TUTUP KHAMIS & JUMAAT)
TELEFON: 010-9094202
Comments
Post a Comment