Sorotan LHKSNS 2022: Sultan Nazrin berkenan sertai larian bersama hampir 10,000 peserta

 

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyempurnakan pelepasan peserta larian


KUALA KANGSAR, 4 NOVEMBER 2022- DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat menyertai acara Larian Hari Keputeraan Sultan Nazrin Shah 2022 di Dataran Pavilion pada 30 September yang lepas.


Turut berkenan berangkat adalah puteri baginda, YTM Raja Nazira Safya dan adinda, YTM Raja Dato' Seri Yong Sofia binti Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.


Larian turut disertai oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki Mahyudin; YDH Ketua Polis Perak, CP Dato' Mohd Yusri Haji Hassan Basri dan YB Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Mastura Mohd Yazid.


Acara larian yang dianjurkan bersempena Hari Keputeraan DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ke-66 pada 4 November ini, menyaksikan penyertaan hampir 10,000 orang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat. Penganjuran itu juga merupakan kesinambungan yang diteruskan setelah dua tahun tertangguh susulan penularan wabak COVID-19.


Sekitar jam 6.45 pagi, DYMM Paduka Seri Sultan Perak berkenan menyempurnakan pelepasan peserta larian membabitkan kategori 15 kilometer (km) yang disertai oleh 5,289 orang peserta dan 3,124 orang peserta larian bagi 10km pada jam kira-kira 7.10 pagi.


Sebahagian peserta memakai kostum dan pakaian tradisional seperti baju kebaya, hantu cina, kartun English, gaya retro, kostum haiwan, lari bersama anak kecil dan haiwan peliharaan, dan banyak lagi gelagat yang menghiburkan semasa berlari. Ia menjadikan program pada hari tersebut kelihatan lebih santai dan menyeronokkan.


Hantu cina yang kepenatan berlari berhenti minum di kiosk. Foto-- orang awam

Pelbagai kostum dikenakan semasa LHKSNS

Peserta larian membawa kucing kesayangan mengelilingi kawasan kampung. Foto-- Owner


Kemudiannya, DYMM Paduka Seri Sultan Perak  dan puteri baginda, YTM Raja Nazira Safya berkenan menyertai acara larian bagi kategori tetamu kehormat (VVIP) yang membabitkan jarak 2.5km diiringi tetamu kehormat yang lain.


Foto-- Orang awam

Foto-- Bernama


Acara pelepasan kategori tetamu kehormat yang disertai 350 orang itu disempurnakan oleh adinda DYMM Paduka Seri Sultan Perak, YTM Raja Dato' Seri Yong Sofia.


Pelbagai acara persembahan diadakan di sepanjang laluan larian antaranya persembahan demonstrasi dinamik dan keupayaan Tiga Cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menewaskan aktiviti sabotaj dan menahan tebusan di Laman Budaya oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Markas 2 Bridged Ipoh dan Akademi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Ipoh.


Foto-- FB Markas Pangkalan Lumut


Seterusnya, acara larian diserikan dengan persembahan oleh kaum Melayu, Cina dan India bagi menonjolkan kebudayaan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.


Antaranya, kaum Melayu mempersembahkan Seni Silat oleh Persatuan Seni Silat Saudara Kuala Kangsar dan pancaragam oleh pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).


Bagi kaum Cina pula, dipersembahkan pukulan Gendang 24 Musim, Tarian Naga dan Singa oleh Dewan Perhimpunan Cina Kuala Kangsar. Manakala bagi kaum India pula, dipersembahkan  Tarian Kolattam oleh para pelajar SJK (T) Gandhi Memorial, Kuala Kangsar.





Foto-- Pejabat Daerah dan Tanah


Program ini telah memasuki edisi yang ke-10 dengan tema yang diperkenalkan tahun ini adalah 'Koleksi Bangunan Ikonik sekitar Kuala Kangsar'. Konsep LHKSNS ini masih lagi mengekalkan keunikannya tersendiri dan akan disusuli dengan pelbagai acara sampingan.


Selain itu, di sepanjang laluan larian, para peserta juga melalui kawasan kampung, di mana mereka akan merasai pengalaman dan suasana desa di sekitar Kuala Kangsar.


Para peserta disajikan dengan makanan tradisional, melihat proses pembuatan labu sayong dan keunikan budaya pelbagai kaum di Kuala Kangsar.


Sebelum berangkat pulang, baginda berkenan menghadiri majlis santapan dan menyempurnakan upacara penyampaian hadiah.

Comments

Popular posts from this blog

"Kisah Inspirasi: Dari peniaga online, kini memiliki dua buah restoran mewah di Kuala Kangsar"

Pakar Percetakan: Kualiti Keutamaan Abih Pikior

PERSIAPAN PESTA SUKAN AYOR KUALA KANGSAR