Cuti Sekolah Dah Kembali! Jom Bawa Anak-Anak Sertai Aktiviti Menarik Di Sekitar Kuala Kangsar & Lenggong
Kalau sebut tentang Kuala Kangsar, aktiviti apa yang anda terfikir bila musim cuti?
Selalunya orang ramai yang ke sini akan singgah ke Masjid Ubudiah dan melawat Istana Kenangan Bukit Chandan. Memang cantik dua tempat ini dan sudah menjadi tempat wajib apabila ke sini tapi ramai yang tak tahu sebenarnya ada banyak lagi tempat-tempat menarik dan semestinya aktiviti-aktiviti menarik yang terdapat di sekitar Kuala Kangsar dan juga Lenggong.
Apa yang menarik? Jom tengok senarai dibawah.
1. Berjalan di sepanjang Victoria Bridge
Victoria bridge merupakan antara jambatan tertua di Malaysia yang dibina sekitar tahun 1897 hingga 1900. Ia adalah sebuah jambatan kereta api tunggal yang melintasi Sungai Perak dan mempunyai banyak sejarah-sejarah lama dari zaman British. Kini, ia telah pun diiktiraf sebagai warisan negeri jadi anda yang ingin datang ke Kuala Kangsar tu, memang patut singgah ke sini dan cuba berjalan sepanjang jambatan ini. Pada mereka yang gayat, agak seram juga berjalan atas trek yang berketinggian 12 meter dari paras air sungai ini tapi kepada mereka yang berani tu, pengalaman ini memang menyeronokkan.
Kepada mereka yang suka bergambar pula, ini adalah port yang anda kena datang bergambar terutama sekali di waktu senja, sungguh indah pemandangan di sini.
2. Melawat Menara Pavilion Kuala Kangsar
Kuala Kangsar cukup kaya dengan pelbagai bentuk bangunan yang unik serta sejarah yang menarik. Menara Pavilion Kuala Kangsar merupakan sebuah bangunan yang dibina oleh arkitek N.E Don B.C.D pada tahun 1920. Pada ketika itu ia dibina sebagai tempat istirahat bagi Sultan Iskandar Shah selepas perlawanan polo.
Menara yang terletak berhadapan dengan Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) ini turut dikenali sebagai The Pagoda of Malaysia kerana senibinanya yang klasik.
3. Melawat Galeri Sultan Azlan Shah
Galeri Sultan Azlan Shah ini pada awalnya telah digunakan sebagai istana dan sekolah sebelum dijadikan sebagai muzium sebagai tarikan pelancongan. Di sini anda boleh mengetahui tentang sejarah kehidupan DYMM Sultan Perak Darul Ridzuan.
Antaranya anda boleh melihat barangan peribadi milik keluarga diraja serta kereta peronda yang pernah digunakan. Tambahan lagi, reka bentuk bangunan yang berbumbung limas ini turut memperoleh bahan binaan dari negara luar seperti Perancis dan Itali.
4. Makan Kuih Karas
Kuih Karas adalah antara kuih tradisi yang popular di negara kita. Kuih Karas di Perak agak berbeza dibandingkan dengan negeri yang lain dari segi lipatannya.
Di D’Village juga pengunjung boleh membeli kuih karas ini.
5. Melawat pembuatan Labu Sayong
Labu sayong merupakan lambang warisan kepada negeri Perak. Nama labu sayong yang dipetik oleh ‘labu’ yang digunakan oleh orang dulu-dulu untuk menyimpan air selepas mencuci di dalamnya, dan ‘sayong’ nama tempat di Kuala Kangsar. Jadi rugi kalau anda datang ke Kuala Kangsar tapi tak pergi ke tempat pembuatannya untuk mengenali salah satu warisan kita. KZ Kraf Enterprise, Xtreme Craft Deco & Pottery, Win Kraf Labu Sayong, Bidat Enterprise dan banyak lagi adalah antara pengusaha pembuatan labu sayong yang terkenal di Kuala Kangsar ini. Mereka telah pun berniaga dan membuat labu sayong sejak 3 generasi yang lalu. Hasil kerja mereka pernah dijual di Eropah.
Kegunaan labu sayong ini adalah untuk penyimpanan air kerana khasiat bahan semula jadinya terutama sekali di tanah mukim Sayong ini yang masih terdapat sisa-sisa debu gunung berapi Toba. Bila dah ke sini semestinya nak membeli buah tangan atau cenderahati dari tanah Sayong ni. Memang anda akan rambang mata dengan pilihan yang ada dengan harga yang sungguh berpatutan. Yang penting, sambil berbelanja kita juga menyumbang kepada industri warisan kita.
6. Melawat pembuatan Rebana Perak
Selain labu sayong, Rebana Perak juga merupakan warisan negeri Perak. Alat muzik tradisional ini selalunya dimainkan pada majlis keraian. Ia mempunyai keistimewaan tersendiri khususnya dari sudut penghasilan irama berikutan perbezaan saiz serta bahan pembuatan yang berlainan dengan kompang. Encik Mohd Sapri pengasas di SRAW (Sentuhan Rebana Asli Warisan), menerima kunjungan ke rumah beliau bagi yang ingin mempelajari tentang Rebana Perak. Beliau juga ada membuat kelas bermain Rebana Perak. Selain Rebana Encik Sapri juga menghasilkan Beduk yang digunakan di rancangan realiti tv, Pencetus Ummah dan Imam Muda terbitan ASTRO OASIS. Bila ke sini, cuba bermain ketukan beduk dan rebana ini baru lah tahu bunyinya yang sangat berlainan dengan kompang. Boleh jadi pengalaman yang menarik untuk belajar tentang warisan negeri Perak ini.
7. Melawat Galeri Arkeologi Lembah Lenggong
Lenggong mempunyai tapak arkeologi yang penting untuk negara kita yang telah diiktiraf oleh UNESCO. Di sini terjumpanya ‘Perak Man’, iaitu rangka manusia yang tertua di Malaysia yang berusia 10,000 hingga 11,000 tahun dahulu. Juga ia antara rangka paling kengkap yang dijumpai di Asia Tenggara. Untuk mengenali tentang ‘Perak Man’ dan sejarah-sejarah purba di negara kita, boleh datang ke Galeri Arkeologi Lembah Lenggong yang dibuka setiap hari dari jam 9 pagi hingga 5 petang. Di galeri ini juga tersimpan banyak khazanah sejak zaman Paleolitik.
8. Melawat Bukit Jawa
Bukit Jawa juga merupakan tapak arkeologi di Lenggong. Ia mendedahkan bukti kebudayaan Paleolitik. Di sini anda dapat lihat tapak yang dipercayai digunakan di zaman Paleolitik untuk pembuatan alat batu atau alat senjata. Untuk ke sini, anda boleh menghubungi:
Jabatan Warisan Negara Zon Tengah
Zuraini bt Zamri
Telefon: +6019-567 2455
Pusat Informasi Pelancongan Hentian R&R Raja Muda Nazrin, Tasik Raban Lenggong
Telefon: +605-7512350
Comments
Post a Comment