JOM! Rasai Keaslian Masakan Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan dan Melaka Di CAFE 5 NEGRI
Keria Gula Kabung yang terletak bersebelahan bangunan Petron Lubuk Merbau di Kuala Kangsar kini membesarkan operasi perniagaan dengan membuka sebuah cafe yang menyajikan menu masakan berasaskan lima buah negeri di Malaysia.
Bonda, pemilik bisnes 'Kekabu Bonda' dan kini, Cafe 5 Negri |
Pemilik Cafe 5 Negri, lebih mesra dan dikenali sebagai Bonda merupakan anak kelahiran Negeri Sembilan, kemudiannya menetap di Kuala Kangsar merupakan pemilik perusahaan Bantal Kekabu Bonda dan kemudiannya membuka sebuah perniagaan baru yang dapat membantu lebih banyak orang mendapatkan peluang kerja selain faktor kebajikan dan pembangunan setempat.
Cafe 5 Negri telah merasmikan pembukaannya pada 16 Disember yang lepas disamping bisnes Keria Gula Kabung yang sudah beroperasi selama setahun. Cafe tersebut menyajikan menu masakan berasaskan lima negeri iaitu Rendang Tok (Perak), Patin Tempoyak (Pahang), Siakap Asam Pedas (Melaka), Acar Timun (Kelantan) dan Ayam Kampung Masak Lemak Cili Api (Negeri Sembilan).
Setiap menu boleh didapati dalam bentuk set yang mana pelanggan turut disajikan dengan nasi, telur dadar, sambal belacan, ulaman dan air.
"Setiap jenis masakan dimasak oleh lima orang tukang masak berbeza, yang berasal dari negeri-negeri tersebut kerana Bonda mahu mengekalkan keaslian rasa masakan tu seperti kita datang makan kat negeri tu. Contohnya, Bonda berasal dari Negeri Sembilan jadi Bonda lah yang akan masak masakan Negeri Sembilan, manakala suami orang Perak jadi dialah yang masak Rendang Tok dan begitulah yang lain.
"Jika kita perasan, kat Kuale ni takde lagi restoran yang ada menyediakan menu dari semua negeri. Hal ini membuatkan kita terpaksa pergi jauh-jauh sampai ke negeri lain untuk merasai masakan popular mereka dan ini membuatkan saya rasa terinsipirasi untuk membuka kedai yang menyajikan masakan semua negeri supaya orang ramai dapat merasainya tanpa perlu keluar jauh-jauh" katanya.
Menurut Bonda lagi, resipi yang mereka gunakan juga adalah turun temurun daripada keluarga masing-masing yang mana ia menjadi faktor bagaimana keaslian rasa masakan di Cafe 5 Negri setanding dengan negeri asalnya. Pelanggan boleh mendapatkannya dengan harga PROMOSI, iaitu hanya RM9.90 per set selama sebulan iaitu dari 16 Disember 2022 sehingga 16 Januari 2023.
Waktu operasi perniagaan bermula 11 pagi hingga 6 petang (buka setiap hari).
Antara set masakan yang disajikan di Cafe 5 Negri |
Siakap Asam Pedas Melaka |
Hidangan sampingan dalam setiap set menu |
Ayam Kampung Masak Lemak Cili Api N9 |
Rendang Tok |
Patin Tempoyak Pahang |
Mewujudkan peniaga-peniaga wanita desa berjaya di bawah satu pengurusan
Bonda berkata tujuan beliau membuka perniagaan baharu adalah untuk memberi tumpuan kepada kerja kebajikan dan sosial iaitu membantu ibu-ibu tunggal yang terjejas sekitar Kuala Kangsar.
Hal ini kerana, tercetusnya idea tersebut hasil daripada perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa penularan wabak Covid-19 dan beliau diberi amanah oleh kepimpinan atasan untuk membantu dan menghantar sumbangan kepada golongan memerlukan serta para ibu tunggal.
"Pada suatu hari, Bonda dapat call sekitar jam 10 malam dan ada orang kampung buat aduan tentang kes penderaan anak kerana si ibu mengalami gangguan emosi dan tekanan melampau selepas bercerai. Dia terpaksa menanggung sara hidup anak-anaknya yang masih kecil sendirian, ditambah pula dengan pelaksanaan PKP yang menyukarkan pergerakan.
"Bonda bergegas pergi ke rumah tersebut bersama team untuk menghantar bantuan. Tetapi si ibu menolak bantuan yang dihantar kerana menurutnya mereka sudah dapat banyak bantuan tapi apa yang dia perlukan adalah bantuan kelangsungan hidup hari-hari seperti bayar sewa rumah, bil elektrik dan air, bagi anak makan dan lain-lain. Apa yang dihantar oleh misi bantuan hanya bertahan beberapa hari sedangkan yang mereka perlukan adalah sumber pendapatan hari-hari.
Sebelum ini, ibu tunggal tersebut berniaga membuat kuih siput tapi disebabkan PKP dia tidak dapat meneruskan perniagaan dan banyak pesanan pelanggan dibatalkan. Akibatnya mereka seisi keluarga tiada hasil pendapatan sehingga dia dan suami sering berkelahi soal kewangan.
"Akhirnya, Bonda suruh dia buat semula bisnes kuih siput, sediakan 100 botol setiap minggu dan hantar pada Bonda. Bonda turut beri wang sebanyak RM500 untuk dia mulakan bisnes, selain tu je cara nak paksa dia terima bantuan demi empat orang anaknya umur dalam lingkungan satu hingga 5 tahun. Kecil lagi tu..kalau dibiar entah macam mana nasib mereka. Tapi hakikatnya, Bonda dah bingung dan tak tahu apa nak buat dengan tempahan banyak-banyak tu.
Selepas itu, tempahan kuih siput tersebut dihantar oleh Bonda kepada pemimpin atasan untuk mereka mengendalikannya.
'Projek Kudap-Kudap Desa' beri peluang ibu tunggal dan golongan terjejas menjana pendapatan
"Sebenarnya, semasa PKP banyak kes cerai, konflik rumah tangga, kes dera anak, orang kelaparan bantuan tak sampai berlaku tau. Bonda rasa kasihan pada ibu-ibu tunggal kerana sebahagian mereka takde pekerjaan, yang ada bisnes pula tergendala. Sebab itulah selepas PKP ni Bonda nak bangunkan projek besar iaitu di bangunan ni (yang merupakan kepunyaan Bonda juga) sebuah pusat beli-belah "Kudap-Kudap Desa" di bawah Koperasi Sentuhan Kasih Wanita Padang Rengas.
"Tempat ni nanti Bonda nak buka jadi macam R&R, bagi maju sikit dan peniaga-peniaga kecil (PKS) bolehlah berniaga dalam ni. Lagipun lokasi ni strategik sebab orang lalu lalang dari Gerik atau dari Pantai Timur boleh datang singgah dan berhenti rehat atau solat. Macam-macam kemudahan ada," ulasnya.
Pelan Projek "Kudap-Kudap Desa" yang mempunyai pelbagai fasiliti |
Foto: KKTV |
"Sebelum ni jual Keria Gula Kabung, lepastu Bonda besarkan operasi buka Cafe 5 Negri dan secara tak langsung bilangan pekerja bertambah. Rata-rata pekerja disini juga adalah para ibu tunggal, 4 orang membuat kuih keria dan 8 orang bertugas untuk memasak," katanya sambil memperkenal setiap pekerjanya kepada KKTV.
Bisnes Keria Gula Kabung diinspirasikan daripada Keria Gula Melaka di Klebang yang sudah beroperasi selama 10 tahun. Namun, disebabkan kuasa VIRAL barisan orang yang beratur amat panjang sehinggakan Bonda sering kecewa tak pernah dapat dan membuat keputusan untuk membangun sendiri bisnes kuih keria, menggunakan gula kabung kerana ianya lebih baik untuk kesihatan.
"Bonda suka bisnes yang lain daripada lain, yang orang nak tapi takde dijual kat sini. Jadi lepasni penduduk tempatan tak perlu susah-susah cari kuih keria sampai ke Melaka kerana kat sini pun sudah ada dan lagi sedap!" ujarnya.
Foto: KKTV |
Foto: KKTV |
Foto: KKTV |
Banyak pengalaman dalam perniagaan dan sudah 'kebal' dengan kutukan negatif
Jika disoal mengenai suka duka sepanjang mengusahakan perniagaan, mustahillah seseorang usahawan tidak menempuh sebarang cabaran dan ujiannya.
Bonda berkata, beliau seringkali diuji dengan ragam orang yang mahu menjatuhkan bisnesnya tapi kerana sudah berpuluh-puluh tahun menghadap ujian menjadikan ia seorang yang hati kering dan sudah 'kebal' dengan kata-kata negatif, kutukan, cacian dan sebagainya.
Beliau menambah lagi, prinsip yang dipegangnya untuk menjayakan bisnes adalah yakin diri, berani, disiplin, tahan maki dan buat sesuatu biarlah sampai jadi. Jika seseorang itu mahu membangun bisnes tapi tiada persediaan daya ketahanan mental yang kuat, dia hanyalah memakan diri sendiri kerana dalam dunia perniagaan bukanlah mudah untuk terus berjaya tanpa sebarang ujian dan tekanan.
Mengenai rancangan pada masa akan datang, Bonda memberitahu bahawa beliau mahu membuka cawangan baharu Cafe 5 Negri di Parit Buntar selepas ini bagi menambah juga peluang pekerjaan kepada ibu tunggal di kawasan itu.
Chor Azam, Bonda dan semua pekerja Cafe 5 Negri |
Comments
Post a Comment