Kisah Inspirasi Kesukarelawanan & Misi Bantuan Din Bezza

'Bila Kita Susah Orang Datang Tolong, Masa Itu Timbul Rasa Nak Tolong Orang Lain Juga..'



Sikap baik dan pertolongan orang yang tidak dikenali ketika beliau menjalani kehidupan sukar dahulu telah menginspirasi Muhammad Salehudin Bin Eby Halim @ Abang Din untuk memberi pertolongan kepada orang yang memerlukan.


“Kehidupan saya dahulu sangat sukar dan merupakan golongan keluarga asnaf yang sering mendapat bantuan. Semasa remaja pula, saya pernah menjadi gelandangan di Kuala Lumpur tanpa pengetahuan keluarga kerana tidak mampu untuk menampung kos sara hidup yang sangat tinggi,” kata Abang Din kepada KKTV semalam.


“Masa jadi gelandangan, macam-macam cabaran dan kesusahan yang kita alami, tidak berduit, tiada tempat tinggal, kelaparan sebab nak dapat makan pun susah. Tapi ramai orang kita yang baik hati menghulur bantuan dan memberi sedekah kepada gelandangan-gelandangan.


"Bila saya menerima bantuan daripada orang, saya rasa tersentuh hati dan merasakan ingin bantu orang yang ditimpa kesusahan juga apabila ada rezeki lebih” katanya, sambil menambah bahawa dia terhutang budi kepada orang itu hingga ke hari ini.


Abang Din atau lebih dikenali sebagai Abang Bezza, pemuda dari Kuala Kangsar pernah tular meraih perhatian warga netizen tahun lalu kerana gigih memberi bantuan kepada mangsa banjir di Selangor dan Pahang.



Misi bantuan itu telah dikongsikan dalam Facebook seperti Siakap Keli, Perak Press, VIRAL PERAK, Kuala Kangsar Di Hati dan banyak lagi. Rata-rata pengguna memberi komen positif dan mendoakan agar misi bantuannya berjalan lancar.


Sumbangan dalam misi kesukarelawanan


Beliau mula menceburkan diri dalam aktiviti kesukarelawanan menerusi Program Kongsi Rezeki dan hampir 20 tahun meneruskan misi bantuan di seluruh Malaysia. 


Walaupun beliau bergerak solo semasa menjalankan  misi, kebanyakan dana yang diperoleh adalah hasil ihsan daripada beberapa tokoh korporat di Lembah Klang dan sumbangan beberapa peniaga di Kuala Kangsar yang menyokong dan menjadi tulang belakang beliau untuk menggerakkan misi bantuan.


Adakalanya beliau diajak berkolaborasi bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) serta pempengaruh/idola terkenal, contohnya bersama Abang Viva semasa misi banjir di Baling dan Persatuan Santuni Warga Kuala Kangsar Perak.


Selain itu, beliau bersama-sama NGO Alam Sekitar dan Hutan pernah menangani isu pembalakan haram sehinggakan mendapat sokongan golongan istana dan Sultan Pahang untuk bersama-sama menjaga kelestarian hutan Pahang.


"Sebelum kita datang membantu, pastikan kita mengkaji dan buat rumusan keperluan barang yang diperlukan supaya tidak berlaku pembaziran. Ada banyak jenis bantuan yang diperlukan oleh golongan terjejas dan para sukarelawan perlu berbincang dahalu bantuan apa yang diperlukan oleh mangsa, barulah apa yang sampai kepada mereka keperluan yang tepat.


"Kita tak nak bantuan yang dihantar tu menjadi sia-sia. Contohnya, semasa banjir besar di Selangor, dapat kita lihat ramai orang post di Facebook banyak misi bantuan yang turun tapi kebanyakan sukarelawan menghantar barang yang tak diperlukan. Akibatnya, barang bantuan tersebut tidak dapat dimanfaatkan dan menjadi sampah.


Menurut Abang Din juga, misi bantuan turut berhadapan dengan pelbagai cabaran tertentu semasa menjalankan misi bantuan.


"Saya pernah dikontroversikan di suatu tempat semasa menghantar misi bantuan, yang mana saya dituduh seolah-olah mengganggu kerja politik ahli politik di kawasan itu. Beliau menganggap saya sebagai pesaingnya dan datang untuk mengambil kesempatan untuk tujuan tertentu sehingga membuat laporan polis dan kenyataan buruk mengenai saya.


"Alhamdulillah pihak polis memberi kerjasama dan mereka mengetahui tentang aktiviti saya yang sudah lama membuat misi bantuan. Oleh itu, kes ini selesai dan keadaan kembali tenang. Ahli politik tersebut juga telah pun membuat permohonan maaf terbuka bagi menjaga imej dan reputasi saya dalam kalangan penduduk disitu," katanya semasa menceritakan saat-saat sukar semasa menghantar misi bantuan.


Selain itu, menurut Abang Din beliau juga pernah diugut dan hampir dipukul kerana misi bantuannya disalah erti dan berniat untuk memburukkan nama kampung tersebut. Hal ini kerana, beliau mendapat tahu bahawa ramai orang kampung yang memerlukan bantuan, hidup dalam kesusahan tetapi bantuan tidak sampai kepada golongan sebenar kerana berlaku kronisme dan sebagainya.


Beliau akhirnya menggunakan pendekatan diplomasi dan mengajak mereka untuk berunding.


"Alhamdulillah berkat diplomasi yang digunakan, saya dan penduduk kampung berjaya mencapai persefahaman dan kata sepakat. Bantuan dapat dihantar kepada golongan yang terjejas tanpa melalui orang tengah," ujarnya.


“Saya akan terus menolong orang yang memerlukan walau apa pun yang orang lain kata. Perbuatan saya ini memberi ketenangan hati ketika saya dapat menolong seseorang selain dapat memberi inspirasi kepada orang lain untuk membantu mereka yang miskin, lapar dan memerlukan," katanya.


Abang Din menyeru golongan belia dan anak-anak muda untuk melibatkan diri dalam aktviti kesukarelawanan memandangkan mereka mempunyai tubuh yang sihat, tenaga, masa, dan semangat yang tinggi. Mereka boleh menyertai sukarelawan dalam bentuk keagamaan, alam sekitar, kebajikan sosial dan sebagainya.

Comments

Popular posts from this blog

"Kisah Inspirasi: Dari peniaga online, kini memiliki dua buah restoran mewah di Kuala Kangsar"

Pakar Percetakan: Kualiti Keutamaan Abih Pikior

PERSIAPAN PESTA SUKAN AYOR KUALA KANGSAR