MISTERI Gunung Pondok, Padang Rengas - Ramai Pendaki Tersesat Dan Hilang
Foto: OrangPerak.com |
Gunung Challi atau Gunung Pondok merupakan sebuah gunung di sempadan negeri Perak Darul Ridzuan dengan Pahang Darul Makmur dan mempunyai ketinggian 1,923 meter (6,308 kaki). Nama Gunung Pondok diberikan bersempena seorang ulama yang datang dari tanah Jawa, mendirikan pondok disitu untuk mengajar agama. Gunung ini mengandungi hutan Dipterokarp Bukit dan hutan Dipterokarp Atas, hutan Montane, dan Hutan Ericaceous atau hutan gunung. Terdapat banyak flora di gunung ini yang mempunyai nilai perubatan.
Gunung Pondok yang cukup sinonim dengan kawasan Padang Rengas di Kuala Kangsar sentiasa menjadi simbolik atau mercu tanda semula jadi yang memisahkan sempadan antara Kuala Kangsar dengan Larut.
|
Oleh kerana saiznya yang besar dan mudah untuk dilihat dari kawasan datar, ia secara tidak langsung amat berguna pada satu ketika dahulu untuk menjadi petunjuk arah bagi kedua-dua lokasi berkenaan.
Apa yang menarik tentang Gunung Pondok adalah sebelum ini, ia pernah menjadi tumpuan penyelidikan di kawasan gunung tersebut. Para penyelidik mendaki Gunung Pondok sehingga ke puncak untuk tujuan kajian arkeologi.
Bagi segelintir penduduk tempatan, ada yang gemar melakukan aktiviti pemburuan terutama ingin mendapatkan kambing gurun iaitu antara spesies hidupan liar yang sangat sukar ditemukan.
Terdapat juga beberapa gua di sini yang menjadi tumpuan segelintir penduduk melakukan kegiatan mencari tahi kelawar selain aktiviti pertapaan untuk meningkatkan ilmu kebatinan dan persilatan. Antaranya termasuklah Gua Panca Logam dan Gua Bersanding.
Namun begitu, Gunung Pondok sering dikaitkan dengan peristiwa misteri sehingga menyebabkan tiada siapa lagi yang berani untuk mendaki gunung tersebut.
Salah satu peristiwa yang sehingga kini dianggap misteri berlaku sekitar tahun 1970 apabila seorang penyelidik berbangsa Cina dilaporkan hilang ketika menjalankan kajian bersama satu rombongan lain.
Tidak diketahui ke mana perginya penyelidik Cina tersebut dan difahamkan ketika berada di atas gunung itu, penyelidik itu terus hilang tanpa disedari langsung oleh mana-mana ahli kumpulannya.
Berita kehilangannya dilaporkan kepada pihak berkuasa dan usaha mencari giat dijalankan di Gunung Pondok. Penduduk kampung juga turut serta bersama-sama untuk mengesan penyelidik berkenaan dari siang hingga ke malam.
Usaha semua pihak yang terlibat untuk mencari individu yang tiba-tiba hilang itu gagal sama sekali dan mangsa tidak berjaya ditemui sehingga ke hari ini dan kehilangannya kekal menjadi misteri.
|
Untuk makluman anda, dikatakan pernah berlaku runtuhan pada tahun 1967 di Gunung Pondok dan ada penduduk kampung yang akui pernah sekilas pandang ternampak seorang wanita berpakaian lengkap berdiri di sebalik lubang seakan-akan sebuah terowong besar yang terbentuk di tengah-tengah gunung.
Mereka yang kebetulan menyaksikan runtuhan itu terkejut tatkala terpandang seketika kelibat perempuan berdiri di terowong tersebut. Kejadian pada waktu malam itu turut disaksikan beberapa penduduk yang lain.
Lubang berbentuk seperti terowong itu sebelum ini tidak pernah terlihat langsung oleh penduduk kampung dan hanya kelihatan selepas runtuhan itu berlaku.
Pernah juga berlaku peristiwa seorang penduduk yang terlihat beberapa orang berjalan sambil mengusung keranda pada waktu malam di laluan berhampiran Gunung Pondok ketika dia melalui sebuah jalan di tepi hutan.
Ada juga kes sekumpulan pelajar kolej yang pernah sesat ketika mencari jalan keluar semasa menuruni gunung tersebut selepas pendakian. Dikatakan penduduk boleh melihat dari bawah gunung ini yang para pelajar tercari-cari jalan untuk keluar. Entah kenapa mereka tidak menjumpai jalan keluar. Sejurus itu, penduduk terpaksa naik ke atas untuk membawa mereka pulang.
Dahulu banyak kes pendaki sesat dilaporkan berlaku. Penduduk juga beranggapan jika naik dengan niat tidak baik mereka akan sesat dan tidak jumpa jalan keluar.
Foto: Mohd Helmee Channel |
Sejak itu, nasib Gunung Pondok sudah tidak gah seperti dahulu lagi. Malah landskap gunung juga mulai gondol akibat daripada operasi sebuah kilang simen berdekatan dan keadaannya seperti dulu tidak akan kembali lagi.
Comments
Post a Comment