Reza Hasbi Tak Mahu Anggap Bidang Lakonan Sebagai Kerja Tetap, Mengusahakan Port Makan Best!
Gambar fail KKTV |
Kuala Kangsar TV baru baru ini ada berbual santai bersama dengan seorang pelakon dan juga pemilik 'port makan' Lepak Kampung Talang iaitu bersama Reza Hasbi. Dapat kami mendengar sedikit sebanyak sisi lain kehidupan dan cabaran yang ditempuhi oleh beliau sebelum bergelar seorang pelakon dan usahawan.
Menamatkan pengajian di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dalam bidang seni, kemudiannya bekerja sambilan di sebuah gimnasium di Kolam Renang serta membantu ayahnya dalam kerja-kerja kampung.
Reza berkata sebenarnya beliau hanya 'main redah' pergi ke ujibakat pencarian pelakon baharu tanpa sebarang persediaan dan hanya melakukan tugasan yang disuruh dengan bersunnguh-sungguh. Juri ketika itu terdiri daripada pelakon dan pengarah veteran antaranya Erma Fatimah dan Along Kamarudin.
Pepatah Melayu pernah mengatakan, jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya untuk menggambarkan susah payah yang perlu dihadapi sekiranya bercita-cita hendak mendapatkan sesuatu hasil yang bermakna. Berkat keikhlasan dan kesungguhannya melakonkan sebarang watak yang disuruh, beliau akhirnya berjaya menarik hati para juri dan bergelar peserta terbaik ujibakat itu.
Reza menasihati mana-mana individu yang ingin menjadi seorang pelakon supaya lebih serius apabila menceburi bidang terbabit dan sentiasa berusaha meningkatkan bakat dan kemampuan diri.
“Hargailah bakat dan peluang yang ada. Dahulu, saya juga belajar bertanya kepada pelakon senior dan menjadikan mereka sebagai kawan. Kami saling hormat menghormati. Jika pengarah memberikan arahan pula, kita kena fokus dan jaga disiplin. Cipta bonding dengan team supaya kerja kita jadi lebih senang. Apabila berakhir sesi penggambaran itu mesti kita rasa sedih dan rindu.
"Sebenarnya yang paling penting pada saya adalah apabila saya dapat bertemu orang ramai dan membina hubungan bersama mereka itu," katanya.
Industri seni juga dilihat semakin mencabar apabila kebanyakan penerbit mula meletakkan syarat-syarat tidak masuk akal dan sukar kepada para pelakon, contohnya seperti mengutamakan susuk figura yang mempunyai jumlah pengikut di media sosial yang ramai, memandang dan memilih rupa berbanding bakat serta banyak lagi isu dalaman yang bersifat berat sebelah.
"Kat Malaysia ni lain, lagi tua lagi tak laku. Berbeza dengan pelakon Hollywood, negara-negara luar yang mana kita boleh lihat lagi tua lagi laku," tambahnya lagi.
LEPAK KAMPUNG TALANG, KUALA KANGSAR.
Gambar: Orang awam |
Jelas pelakon berusia 34 tahun itu, idea untuk mengusahakan bisnes berkonsepkan 'port lepak' datang apabila dia melihat ramai orang terkesan akibat pandemik Covid-19.
"Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah 'turning point' dalam bidang ini kerana saya nampak ramai yang kehilangan kerja. Malah, banyak jadual penggambaran terpaksa dibatalkan dan ia menyebabkan tawaran lakonan saya berkurangan.
"Keadaan itu menyebabkan saya tersedar bahawa kita tidak boleh menjadikan industri lakonan sebagai kerja tetap, sebaliknya seseorang selebriti itu perlu mempunyai pendapatan sampingan untuk menjamin sumber pendapatan yang kukuh dan berterusan" katanya.
Oleh itu, Lepak Kampung Talang yang terletak di kampung halamannya diusahakan dengan membina kiosk-kiosk yang menyajikan pelbagai menu menarik seperti kerang bakar, satay, dim sum, masakan kampung, makanan korea, western dan juga masakan panas yang lain. Kiranya kawasan ini macam food court juga.
Reza berhasrat untuk memberi peluang pekerjaan kepada orang ramai terutamanya penduduk tempatan tanpa mengira latar belakang. Pengunjung juga boleh bergambar dan menghayati pelbagai dekorasi menarik di situ.
Selain itu, titik peluhnya itu jelas membawa kegembiraan apabila Lepak Kampung Talang tular dan mula dikenali, bukan sahaja dalam kalangan penduduk Kuala Kangsar malah sehingga ke Ipoh dan foodhunter dari negeri lain.
Tambah Reza, dia juga mempunyai mesej dan perkongsian kepada usahawan muda yang masih baharu dalam bidang tersebut, namun tidak mempunyai tunjuk ajar jelas.
"Pertama, jika hendak menjadi usahawan itu, kita kena mendalami ilmu perniagaan sebanyak mungkin. Rajinkan diri untuk menyertai kelas-kelas bisnes tambah pengetahuan.
"Kedua, mereka perlu belajar dan biasakan diri dengan proses untuk berkembang itu. Kita perlu faham bahawa pada mulanya untuk meraih keuntungan tinggi memang sukar," katanya.
Selain itu, dia juga mengingatkan sesiapa yang berminat untuk menceburi bidang itu tidak boleh melangkau mana-mana peringkat dan perlu bersabar ketika berdepan cabaran itu.
Gelung berhawa dingin |
Lepak Kampung Talang telah memperkenalkan konsep makan dalam gelung berhawa dingin yang mana konsep tersebut merupakan yang pertama kali diwujudkan di gerai makan di Malaysia.
Gelung berhawa dingin ini dah agak senang dijumpai di Malaysia tapi selalunya dijadikan sebagai chalet ataupun tempat penginapan. Di sini lain sikit sebab gelung digunakan sebagai tempat untuk makan.
Caj yang dikenakan adalah RM12/jam kerana melibatkan kos penyelenggaraan yang tinggi dan kemungkinan akan dinaikkan dari semasa ke semasa.
Menurut Reza, beliau berhasrat untuk menambah jumlah gelung disebabkan permintaan yang sangat tinggi.
"Pada hujung minggu, saya nasihatkan pengunjung untuk menempah tempat gegelung kerana saya tidak sampai hati menghampakan kalian yang datang dari jauh tetapi meja dan gelung sudah penuh.
Bukan itu sahaja, lokasinya amat strategik kerana Kampung Talang Hilir amat dekat dengan pekan Kuala Kangsar. Reza turut terinspirasi untuk membangun Lepak Kampung Talang disitu memandangkan landskap kampung yang dihiasi dengan pokok Akasia berusia 19 tahun yang sungguh cantik. Amat menyenangkan mata yang memandang, kita nak makan pun rasa tenang dan damai.
Tunggu apa lagi? Jika ada rancangan untuk makan luar atau tidak ada idea port lepak yang santai dan tenang bersama keluarga atau kawan-kawan, bolehlah ke Lepak Kampung Talang!
Alamat: Lepak Kampung Talang Hilir Rezza Hasbi, 23, Jalan Taiping, Jalan Kampung Talang Hilir, 33000 Kuala Kangsar, Perak.
Waktu operasi: Setiap hari (kecuali Rabu) bermula 6 petang hingga 12 malam.
Untuk tempahan tempat atau gelung, sila hubungi 011-2649 7539
Comments
Post a Comment