'Burger Tangga', Inilah Burger Paling Lejen Berpuluh Tahun Niaga!
Haa..komer! Orang Kuale atau sape-sape yang pernah menetap dan belajor di Kuale Kangsor mesti kenal sangat-sangat dengan 'Burger Tangga' ni. Lejen woo..Sampai sekarang ada berniaga lagi! Fuh..
Moh ikuti Kisah Inspirasi bersama dengan pemilik Burger Tangga ni.
Tangga yang sinonim dengan gerai Abang Jeff dalam kalangan pelajar sekolah |
Jefri, atau lebih dikenali sebagai 'Abang Jeff, pada mulanya menjual burger di kuarters polis yang diinap bersama keluarga memandangkan ayahnya seorang anggota polis.
Menurutnya, terbit rasa mahu berniaga selepas melihat kejayaan senior-senior sekolahnya dan kebetulan terdapat satu kawasan kosong yang terbiar di dalam kuarters polis itu.
Hendak berniaga di luar tidak mampu, jadi beliau bersama dua orang rakannya mengambil peluang tersebut untuk membuka gerai burger selepas menghabiskan sekolah peringkat SPM.
Ruang kecil tersebut dimanfaatkan untuk memulakan perniagaan burger sejak tahun 1989.
- Foto KKTV. |
Gerai Abang Jeff kemudiannya berpindah ke tempat lain, iaitu bersebelahan tangga yang menjadi tempat lalu-lalang penduduk tempatan di pekan Kuale.
Menurutnya lagi, asal nama 'Burger Tangga' adalah disebabkan pelajar-pelajar sekolah berhampiran dan pelajar asrama yang 'outing' seringkali singgah untuk membeli burgernya. Mereka menggunakan tangga sebagai 'trademark' kepada gerai Abang Jeff apabila berbual dengan rakan-rakan mengenai burger yang dibeli.
"Burger saya ni amat digemari budak-budak sekolah berhampiran, SMK Clifford, Malay College Kuala Kangsar, Sekolah Teknik, MRSM dan yang lain-lain sekitar Kuala Kangsar. Selepas pulang ke negeri asal lepas habis sekolah, mereka duk kenang balik kat sinilah tempat melepak, outing dulu..kalau datang kuale mesti datang singgah. Kata mereka, rindu kenangan kat sini..mengimbau kenangan zaman sekolah dulu.
"Malah, sampai ada yang minta resipi kat saya sebab suka sangat dengan burger yang saya buat," sambungnya lagi.
- Foto KKTV. |
Namun begitu, perjalanan menguruskan sebuah perniagaan tidaklah semudah seperti yang kita sangka.
"Antara cabaran yang saya pernah hadapi sepanjang berniaga adalah apbila dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa. Mereka tak bagi simpan barangan niaga kat sini, suruh bawa balik. Padahal susahlah saya nak bawa kehulur-hilir padahal berniaganya hari-hari," katanya.
Namun, Abang Jeff tetap kuat menghadapi isu-isu yang timbul dan kekal berniaga disitu sampailah sekarang.
"Alhamdulillah, saya bertahan sampai ke hari ini. Sejak awal, banyak cabaran dan ujian yang saya kena hadapi tapi tetap berusaha sendiri mengendalikan perniagaan.
"Saya melalui pelbagai pengalaman pahit manis, jatuh bangun dalam bisnes.. Masa covid jangan cakaplah, memang susah nak keluar berniaga tapi saya tetap bersemangat kerana ini saja pekerjaan yang saya mampu buat.
Abang Jeff mengamalkan prinsip tidak mudah mengalah dan disiplin, kerana bisnes burger lah satu-satunya pekerjaan yang dia suka buat.
Burger Tangga beroperasi pada setiap hari kecuali Jumaat bermula jam 11 pagi hingga 7 petang.
Comments
Post a Comment