POPIA NAQIB luaskan perniagaan sampai ke Kuala Lumpur?!
Along, pewaris Popia Naqib yang meneruskan perniagaan keluarganya sekarang |
Menu ringan seperti popia memang menjadi pilihan ramai tidak kira kaum dan usia. Kesedapan menu itu selalunya dinilai berdasarkan kepada sos dan intinya.
Di Kuala Kangsar, kome pasti tidak asing lagi dengan 'Popia Naqib' bila pergi ke pasar malam, Bazar Ramadan ataupun pengunjung setia gerai mereka di lembah (depan kedai Yeop Helmi).
Along, berasal dari Kota Lama Kiri dan kini menetap di Kuala Lumpur merupakan anak sulung merangkap cucu sulung kepada perniagaan Popia Naqib, kini menyambung legasi perniagaan keluarganya.
Beliau membuka gerai popia di Cheras, Kuala Lumpur yang diberi nama 'Royaltown Popia'. Semua resepi pembuatan popia diinsipirasikan daripada Popia Naqib.
Mereka mula berniaga popia sekitar tahun 1990-an tanpa nama dan kemudiannya menamakannya sebagai "Popia Naqib" iaitu bersempena nama anak bongsu dalam keluarga, dengan harapan dia boleh mewarisi perniagaan ini suatu hari nanti.
Along berkata, kebiasaan dia membantu arwah nenek berniaga popia di RPA 4, Jalan Baru sejak kecil memberi inspirasi kepadanya untuk membuka gerai popia di Cheras, Kuala Lumpur.
Popia Naqib sentiasa membuat R&D, penambahbaikan dan mendapatkan maklum balas daripada pembeli sejak awal perniagaan bagi memastikan rasa popia "kena tekak" dengan mereka. Oleh sebab itu, Popia Naqib berjaya mendapat perhatian daripada penduduk tempatan dan kekal digemari ramai.
Mereka juga ada mengeluarkan produk baharu iaitu sos popia dalam paket kecil yang mana ianya merupakan inovasi resipi Popia Naqib kepada penjual-penjual popia yang lain, malah peminat popia yang berada di Sabah & Sarawak juga boleh mendapatkannya.
"Pembuatan sos dihasilkan daripada dapur kayu dan kulit popia pula menggunakan dapur minyak tanah, tapi sekarang guna gas la," katanya ketika disoal mengenai pembuatan Popia Naqib.
Kecekalan & Ketabahan Ibu Ayah menjentik hatinya untuk kuat menceburi bidang perniagaan
"Saya ingat lagi masa kecil dahulu, kami pernah terlibat dengan kemalangan semasa dalam perjalanan ke tapak pasar malam untuk berniaga sehingga barang-barang niaga habis tumpah.
"Ayah memujuk kami agar bersabar dan berniaga dengan saki-baki yang tinggal walaupun sikit..Insya-Allah ada rezeki. Walau ada apa pun halangan teruskan buat (menjual).." katanya.
Along juga menasihati agar sesiapa pun yang ingin menceburi bidang perniagaan haruslah membiasakan diri dengan norma baharu iaitu "bisnes online".
"Maksudnya, kita tetap jual popia di merata-rata tempat, tapi kita juga ada buat perkhidmatan menghantar stok ke seluruh Malaysia..berniaga secara atas talian juga memandangkan sekarang ramai yang menggunakan Internet untuk menjayakan perniagaan," jelasnya.
Selain itu, jika mana-mana peniaga dan usahawan yang rasa ingin berputus asa, kembali semula ke niat dan tujuan asal kenapa buat sesuatu bisnes tu.
Menurut Along, dia memikirkan Popia Naqib merupakan perniagaan warisan keluarganya sejak berdekad tahun lalu dan rugilah jika tidak diteruskan. Perniagaan popia juga merupakan bisnes yang tak ramai orang buat dan juga beliau ingin membawa popia yang berasal dari Kuala Kangsar ini terkenal di Kuala Lumpur.
Comments
Post a Comment