Remaja Menghidap Sakit Jantung Berlubang Gigih Berniaga Nasi Lemak Demi Menampung Kos Rawatan
Ahmad Alauddin |
Kisah Udin, remaja berusia 18 tahun yang menghidap sakit jantung berlubang serta kegigihannya menjual nasi lemak tular di media sosial baru-baru ini sehingga menarik perhatian banyak media untuk menemu ramahnya.
Udin merupakan pelajar lepasan SPM dan anak yatim piatu sejak kecil yang tinggal bersama ibu saudaranya di Kampung Paya Panjang.
Pemuda yang berasal dari Padang Rengas ini berniaga nasi lemak dengan harga RM1.2O bagi menampung kehidupan dan kos rawatan penyakitnya.
Menurut Udin, rutin hariannya, seawal jam 3 pagi akan bangun memasak nasi lemak dan membungkus dengan bantuan kakak sepupunya sebelum keluar berniaga pada jam 6.45 pagi berjalan kaki kira-kira 100 meter ke tempat meniaga, iaitu bertentangan dengan stesen minyak Petron dan Petronas di Padang Rengas.
Kebiasaannya nasi lemaknya habis dijual dalam masa setengah jam kerana rata-rata orang yang datang akan membeli sekali banyak.
Udin sebelum ini pernah bekerja di sebuah kedai makan mengambil keputusan untuk berhenti atas faktor kesihatannya yang tidak mengizinkan untuk bekerja kuat. Dia terpaksa menjual nasi lemak kerana ingin membantu ibu saudaranya yang baru sahaja patah kaki terlibat dengan kemalangan.
Lebih mengharukan wang simpanannya turut habis diguna untuk membayar kos rawatan di hospital swasta.
Setiap dua bulan sekali Udin akan menjalani pemeriksaan susulan di Hospital Pulau Pinang dan dia turut dicadangkan untuk menjalani pembedahan di India dengan kos rawatan kira-kira RM80,000.
Namun atas sebab kekangan kewangan, rawatan tersebut tidak dapat disempurnakan dan dia hanya mengawal pemakanan bagi memastikan keadaan kesihatan kekal baik.
Bagaimanapun dia tetap tidak berputus asa. Sehubungan itu, mana-mana pihak yang sudi membantu Udin boleh menghubungi di talian 011-62261899.
Comments
Post a Comment