Kedai Nonn Nasi Bungkus sudah 5 tahun beroperasi..
Kedai Nonn Nasi Bungkus di Puncak Bougainvillea |
Kedai Nonn Nasi Bungkus menjadi salah satu kedai makan di Kuala Kangsar yang masih mengamalkan konsep nasi bungkus dan dijual dengan harga yang berpatutan.
Justeru, tidak hairanlah perniagaan nasi bungkus yang diusahakan oleh Zainol Ariffin bin Omar Walid, sejak 2017 itu menjadi tumpuan orang ramai susulan harga yang murah dan rasa yang sedap!
Untuk harga nasi bungkus berlaukkan ayam dan ikan keli, harga yang dikenakan ialah RM5.50, manakala bagi nasi bungkus berlaukkan kambing bakar adalah RM14.
Bagi pelanggan yang makan di kedai pula akan disediakan air percuma dan jenis air akan bertukar setiap hari selain kuantiti nasi lebih banyak.
Selain nasi bungkus, coconut shake juga termurah dan merupakan antara menu yang paling laku disini.
Menurut Zainul Ariffin, pada mulanya dia hanya berniaga air kelapa dan keropok lekor, kemudian beralih kepada pernigaan nasi bungkus kerana sukar mendapatkan bekalan stok buah kelapa.
"Walaupun kos bahan mentah sentiasa naik, saya mengambil pendekatan untuk mengekalkan harga yang sama kerana tidak sampai hati untuk menaikkan harga demi memikirkan pelanggan.
"Dalam sehari kita akan dapatkan 30 hingga 40 ekor ayam. Harga ayam sekarang pun dah naik sekali ganda. Belanja untuk beli ayam sahaja dalam RM400 hingga RM600.
"Stok ikan keli pula sehari sebanyak 30kg dan kambing pula 20 hingga ke 30kg," katanya ketika dihubungi Kuala Kangsar TV pada Isnin.
"Ada kalanya terfikir untuk naikkan harga namun kasihan kepada pelanggan terutamanya mereka yang susah, kami tidak sampai hati dan mengambil keputusan untuk mengekalkan harga,
"Sebelum ini saya berniaga seorang di gerai. Sekarang sudah sewa premis dan ambil enam orang pekerja untuk membantu melancarkan operasi perniagaan. Kami pun perlu memikirkan bayaran gaji pekerja, sewa kedai dan sebagainya," katanya yang kini telah berpindah dari lokasi jualan lama dan beroperasi di Puncak Bougainvillea di sini.
Zainul Ariffin juga bercadang mahu mengeluarkan produk sos dan kambing perap jenama Nonn sendiri dan membuka sebuah cawangan di luar kawasan Kuala Kangsar di masa akan datang.
Kedai Nonn Nasi Bungkus beroperasi bermula jam 11 pagi sehingga jam 5 petang setiap hari kecuali pada Jumaat.
Untuk tempahan kambing untuk majlis boleh hubungi 017-5093205.
Comments
Post a Comment