Rumah Atap Kuning Saji Hidangan Atas Talam, Suasana Klasik Dikelilingi Bendang Menjadi Port Healing Terbaik Pengunjung Dari Bandar!
Tradisi menyajikan makanan atas talam kini semakin dilupakan kerana tidak lagi diamalkan oleh masyarakat tempatan.
Ia merupakan budaya dan amalan kehidupan masyarakat zaman dahulu yang mana makanan akan disajikan di atas talam untuk seisi keluarga menikmati sarapan, makan tengah hari atau malam di rumah beramai-ramai.
Begitu juga bila ada kenduri atau majlis perkahwinan di rumah, lauk-pauk diletakkan di atas satu talam berserta dengan semangkuk air untuk membasuh tangan. Manakala nasi pula diletakkan dalam bekas lain. Kesemua tetamu akan makan antara 4 hingga 7 orang untuk satu talam.
Namun, tradisi ini sudah lama berlalu. Majlis perkahwinan pada masa kini menggunakan khidmat katering dan tradisi sajian hidangan atas talam pun lenyap mengikut peredaran zaman.
Pada mereka yang merindui cara lama penyajian makanan ini atau mereka yang belum pernah mengalaminya, komer masih berpeluang merasainya dengan berkunjung ke Rumah Atap Kuning yang terletak di Sayong.
Walaupun ada beberapa restoran di sekitar Kuala Kangsar turut menyajikan lauk-pauk dalam talam yang mungkin sama, tetapi di Rumah Atap Kuning ini tetamu dapat menikmati 'mood' berbeza!
Puan Lily (kiri) ketika ditemubual Kuala Kangsar TV |
Puan Lily, 51, ketika ditemu bual baru-baru ini berkata bahawa beliau memilih untuk membangunkan Rumah Atap Kuning bagi memberi peluang kepada pengunjung untuk menjamu selera bersuasanakan kampung.
"Bila saya sampai di Kuala Kangsar, saya tercari-cari kat mana restoran atau tempat yang menyajikan nasi talam yang betul-betul sedap, suasana pun menarik, ada nampak bendang..orang cakap port healing lah. Kita nak tenang-tenang dan santai..tapi takde. Itu yang saya terdetik bangunkan rumah persendirian bersuasana kampung dan menghidangkan makanan atas talam. Terasalah aura dulu-dulu tu.
Rumah kampung terbiar sebelum dibangunkan Rumah Atap Kuning:
Rumah Atap Kuning (kini):
Menurut Puan Lily, ia adalah suatu pendekatan yang terbaik untuk menghidupkan kembali warisan kita dan memudahkan orang ramai untuk menikmati dan merasai sendiri makanan di hidang atas talam selain mendidik generasi baharu 'kitani' akan tradisi lama orang dulu.
Pengunjung yang datang perlu mengenakan kain batik dan kain pelikat yang disediakan sebelum naik ke rumah dan menghayati suasana rumah kampung yang menyenangkan.
Permandangan dari luar Rumah Atap Kuning yang dikelilingi bendang dan suasana kampung yang menyenangkan |
Rumah Atap Kuning dibuka secara rasmi kepada orang ramai mulai bulan Oktober ini pada setiap hujung minggu (Jumaat, Sabtu dan Ahad).
Ia mempunyai keunikan makanan tersendiri dengan menghidangkan pelbagai jenis masakan pelbagai negeri. Menu yang ditawarkan juga akan berubah setiap minggu. (boleh hubungi pemilik untuk tahu lebih lanjut).
Antara menu-menu termasuklah itik salai masak kari, ikan talapia masak sepuh, rendang pucuk paku taik minyak, sambal belacan & ulam-ulaman, ikan pekasam loma, nasi, lengkong & tapai, sirap ais & mineral serta cenderahati.
Set talam yang lain pula termasuk masak lemak daging salai kulit rambai, ayam goreng kicap, rendang pucuk paku taik minyak, sambal belacan & ulam-ulaman, ikan pekasam loma, nasi, lengkong & tapai, sirap ais & mineral serta cenderahati.
Set talam dengan 7-8 jenis lauk |
Satu talam berharga RM140 yang terdiri daripada tujuh hingga ke lapan lauk-pauk dan terhad kepada 2-4 orang sahaja.
Menurut Puan Lily, walaupun harga yang ditawarkan agak tinggi, tapi apa yang menariknya pengunjung boleh request untuk menambah lauk-pauk sekali lagi kecuali lauk ikan dan mereka boleh menikmati juadah sehingga puas hati. Asalkan tidak membazir.
"Kalau nak kata tak berbaloi, bila dibandingkan di tempat lain yang menawarkan harga RM40 satu talam tapi kita tak boleh nak tambah-tambah. Apa yang diberi setakat itu je pengunjung dapat makan. Kadang tu kita sendiri tak rasa puas, tak kenyang lagi, betul tak?
"Berbeza kat sini, pengunjung ada 'round 2', ada privasi, suasana pun lawa, menarik dan menyenangkan. InsyaAllah komer mesti puas hati bila dah rasa sendiri," katanya.
Puan Lily yang sudah lali dalam dunia bisnes turut berkata, cabaran memang tetap ada namun itu bukanlah penyebab untuk berputus asa. Setiap teguran dan komen daripada para pelanggan mereka hargai dan cuba untuk terus memperbaiki daripada semasa ke semasa.
Generasi sekarang tidak dapat merasai sajian atas talam seperti dilalui oleh ibu bapa atau datuk nenek kita dahulu. Bagi mereka yang belum mengalami sendiri makan nasi dihidangkan atas talam bolehlah berkunjung sendiri ke sini.
Bagi yang berminat boleh membuat tempahan tempat seminggu awal menerusi akaun media sosial atau hubungi mereka secara langsung menerusi WhatsApp - 019 668 8466. Rumah Atap Kuning juga menerima tempahan untuk private group.
Tekan sini: WhatsApp Facebook Tiktok Instagram
Comments
Post a Comment