"Kisah Inspirasi: Dari peniaga online, kini memiliki dua buah restoran mewah di Kuala Kangsar"

Nur Asyikin, pemilik Restoran Lekoi Lekoi & Soho Lekoi di Kuala Kangsar

"Jangan cepat merasa puas dalam mengejar erti kejayaan," itulah ungkapan dari seorang pemilik restoran di Kuala Kangsar. Bermula dengan meniaga secara online, kini hasil titik peluh wanita ini berjaya membuka dua buah restoran mewah yang sering dikunjungi ramai pelanggan dari luar Kuala Kangsar.


Nur Asyikin atau lebih mesra dipanggil ‘Lia’, 36 tahun, merupakan antara pengusaha wanita yang berani dalam menceburi minatnya dalam dunia F&B walaupun diduga dengan pelbagai cabaran dan rintangan namun semua itu bukan suatu penghalang buatnya.


Siapa sangka ibu kepada tiga orang anak yang suatu ketika dahulu hanya berniaga secara online kini mampu memiliki restorannya sendiri serta menggaji beberapa orang pekerja. Asyikin berasal dari Selangor namun menetap di Kuala Kangsar, Perak selepas berkahwin dengan suaminya.


Menurut Asyikin, asbabnya dalam menceburi bidang perniagaan F&B adalah dari minatnya sejak dari kecil dengan menolong arwah ibunya berniaga sehingga Asyikin juga menyambung pengajiannya dalam bidang perniagaan dan sempat bekerja di beberapa buah restoran terkenal di Malaysia.


Kebanyakkan mereka yang ingin menceburi perniagaan F&B sudah mula memikirkan apa yang mereka hendak jual, kadangkala sejenis makanan itu sendiri menjadi pencetus inspirasi untuk memulakan perniagaan. Begitu juga dengan Asyikin yang mula berniaga pucuk ubi rangup dan sambal sebelum membuka restoran.


 Restoran Lekoi Lekoi 

Restoran Soho Lekoi 



Minat dan Semangat dalam dunia F&B


Memiliki dan mengendalikan restoran bukan sekadar usaha perniagaan malah ia adalah usaha yang didorong oleh semangat dan minat yang mendalam terhadap dunia perniagaan makanan dan minuman, layanan dan keinginan untuk mencipta pengalaman yang tidak dapat dilupakan.


Konsep restoran yang dimiliki oleh Asyikin merupakan atas pengalamannya sendiri dalam menjelajahi beberapa buah negara yang dikunjungnya seperti negara China, Thailand dan Indonesia. Setiap negara yang dijelajahinya akan dikaji setiap menu masakan mereka dan dijadikan inspirasi untuk menu di restorannya. Manakala dekorasi untuk restorannya adalah melalui citarasanya sendiri.  


Keunikan nama restorannya iaitu ‘Lekoi’ sering menjadi tanda tanya dan ternyata ianya merupakan sebutan dari anaknya sendiri yang sering menyebut perkataan itu sewaktu kecil. Walaupun ianya kedengaran seperti biasa sahaja, namun ianya memiliki nilai sentimental buatnya dan mudah untuk diingati orang lain.


Nilai yang diterapkan oleh Asyikin untuk restorannya adalah eksklusif. Walaupun reka bentuk restorannya eksklusif namun harga yang ditawarkan adalah berpatutan supaya semua pelanggan mampu untuk mencuba makan di restorannya.  Beliau juga menyasarkan golongan pelajar dan menawarkan harga yang bersesuaian dengan status pelajar.


 Dekorasi dalaman Restoran Lekoi Lekoi 


Dekorasi dalaman Restoran Soho Lekoi



Ketabahan Menghadapi Cabaran


Laluan menuju kejayaan dalam industri restoran sarat dengan cabaran, daripada tren pasaran yang berubah-ubah kepada krisis yang tidak dijangka. Namun, keupayaan untuk mengharungi badai ini dengan daya tahan yang tidak berbelah bahagilah yang membezakan pemilik yang berjaya. Sama ada menghadapi kemelesetan ekonomi atau halangan yang tidak dijangka, usahawan ini melihat cabaran sebagai peluang untuk pertumbuhan perniagaannya.


"Walaupun tengah sarat mengandung, saya sedaya upaya membangunkan restoran ini," tambahnya ketika ditemu ramah. Menurutnya, kedua buah restoran miliknya mempunyai fasa yang agak mencabar di mana restoran pertamanya iaitu ‘Lekoi-Lekoi’ diuji apabila baru dibuka dalam tempoh tiga bulan terpaksa berdepan dengan cabaran pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun beliau terus bertahan tanpa berputus asa demi meneruskan kelangsungan hidupnya.


Daripada persaingan yang sengit dalam dunia F&B kepada kerumitan operasi semasa pandemik Covid-19, perjalanan seorang pemilik restoran penuh dengan halangan. Bagi Asyikin, dengan segala cabaran dan rintangan yang berlaku bukanlah suatu penghalang untuknya terus melangkah dalam dunia perniagaan ini. Dengan mengeluarkan modal yang banyak, beliau tidak akan terus berputus asa dengan apa yang telah diusahakan oleh dirinya.


“Doa yang paling penting untuk diberikan kekuatan dari Ilahi supaya tidak cepat mengalah dengan segala usaha yang dilakukan dan merupakan salah satu kelebihan untuk diri sendiri dapat terus bertahan adalah kerana semua yang diusahakan adalah datang daripada diri sendiri tanpa melibatkan orang lain,” katanya yang bersyukur masih bertahan dengan hasil usahanya dalam membangunkan restorannya.


Pemandangan luar Restoran Soho Lekoi


Tingkat atas Restoran Soho Lekoi



 

Belajar dari Pengalaman


Salah satu motivasi utama bagi kebanyakan ahli perniagaan adalah keghairahan yang mendalam untuk apa yang mereka lakukan. Sama ada mencipta produk inovatif, menyediakan perkhidmatan yang berharga dengan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan tujuan yang kuat mendorong mereka ke hadapan. Semangat ini bukan sahaja menyemarakkan semangat mereka tetapi juga memupuk daya tahan dalam menghadapi cabaran.


"Saya menjadikan suami saya sebagai ‘role model’ untuk dijadikan sumber inspirasi dalam dunia perniagaan," katanya yang menginspirasikan suaminya yang juga merupakan seorang ahli perniagaan. Suami Asyikin merupakan seorang yang lebih berpengalaman dalam pengurusan kerja dan teliti dalam setiap perkara. Oleh itu, beliau mula mempelajari dan memantau untuk merekod segala kewangan yang telah digunakan. Beliau juga mengatakan bahawa strategi pemasaran penting dalam dunia F&B yang penuh dengan persaingan.


Tim KKTV menemu ramah pemilik


Di sebalik setiap restoran yang berjaya terdapat pasukan berdedikasi yang berkongsi visi dan semangat bersama majikan. Majikan yang bijak menyedari bahawa kepentingan memperkasakan kakitangan mereka dengan memupuk persekitaran kerja yang positif dan menyediakan peluang untuk pertumbuhan perniagaannya. Begitu juga dengan Asyikin yang menitikberatkan hubungan antara majikan dengan pekerja.


"Jika mahu belajar dan mengambil pengalaman disesuatu tempat sekurang kurangnya tiga tahun keatas untuk dapatkan sesuatu," pesannya lagi. Bagi Asyikin, cara beliau untuk menghargai pekerjanya adalah dengan memenuhi keperluan pekerjanya selagi mampu. Selain itu, perjumpaan antara majikan dan pekerja juga perlu kerap diadakan bagi mengeratkan hubungan sesama mereka dan mempertingkatkan lagi semangat kerja berpasukan dalam menguruskan perniagaan bersama. "

 

Menu Makanan Restoran Soho Lekoi


Warisan Kecemerlangan Masakan


Pemilik yang berjaya tidak akan berpuas hati dengan kejayaan mereka tetapi sebaliknya dengan melihat setiap waktu sebagai peluang untuk memperhalusi, berinovasi dan meningkatkan masakan mereka. Komitmen mereka terhadap kecemerlangan mencipta legasi yang berkekalan, memberi inspirasi dan meninggalkan kesan yang tidak dapat dilupakan pada landskap masakan.

 

Menurut Asyikin, beliau tidak akan merasa puas dengan kejayaannya yang sekarang kerana setiap kesilapan itu merupakan peluang untuk dirinya terus belajar dan memperbaiki dirinya sendiri. Walaupun sudah mencapai sasaran, Asyikin tidak akan pernah berhenti untuk menimba ilmu dalam dunia perniagaan. Beliau akan sentiasa mengikuti kelas seminar dan membaca buku kerana ilmu itu penting untuk diaplikasikan dalam dunia perniagaan.


Penyerahan sijil penghargaan kepada pemilik


Kepuasan yang diperoleh dalam memuaskan hati pelanggan dan menerima maklum balas positif merupakan pendorong yang kuat untuk Asyikin. Kegembiraan melihat pelanggan menikmati hidangan yang disediakan dengan baik atau berulang kembali ke restorannya menyumbang kepada rasa pencapaian dan mendorong semangat untuk terus menambah baik. Oleh itu, beliau sangat menitikberatkan maklum balas dari pelanggan supaya dapat memperbaiki segala kekurangan.


“Menjaga kewajipan solat memainkan peranan penting dalam perniagaan. Ada pekerja yang berkata di tempat kerja lama mereka tidak dibenarkan solat sehinggakan dipotong gaji namun disini tidak begitu. Saya memberi ruang kepada mereka untuk solat jadi tiada alasan untuk mereka tidak solat kerana solat itu sangatlah penting bukan sahaja untuk majikan begitu juga dengan pekerja kerana rezeki itu datang daripada hasil usaha satu pasukan,” tambahnya lagi bahawa restorannya hanya asbab rezeki dari Tuhan untuk Asyikin dan yang lain.

 

Comments

Popular posts from this blog

Pakar Percetakan: Kualiti Keutamaan Abih Pikior

PERSIAPAN PESTA SUKAN AYOR KUALA KANGSAR