Pakar Percetakan: Kualiti Keutamaan Abih Pikior

 

Chor Azam di hadapan syarikat Abih Pikior

Bisnes percetakan baju telah melalui pelbagai revolusi. Jika dahulu, teknik percetakan menggunakan blok merupakan kaedah yang menjadi pilihan dan terkenal di kalangan pelanggan, namun pada masa kini teknik DTG (Direct to Garment) semakin mendapat tempat di hati para pelanggan.


Berpegang kepada moto “Kualiti Adalah Keutamaan Kami, Biar Pelanggan Berpuas Hati”. Syarikat percetakan baju Abih Pikior telah mula beroperasi di Persiaran Prima, Kuala Kangsar pada April 2017. Encik Shu, pemilik syarikat Abih Pikior yang merupakan seorang bekas jurutera syarikat Canon telah mempunyai pengalaman dalam bidang percetakan selama lebih 20 tahun. 


Pada ketika itu kedainya hanya mempunyai seorang kakitangan dan sebuah mesin pencetak baju DTG (Direct to Garment) keluaran Brother model GT3. Pada awal pembukaan Abih Pikior, beliau juga terpaksa bersaing dengan yang lain untuk memperkenalkan Abih Pikior di kalangan masyarakat.


Dekorasi dalam syarikat Abih Pikior


Tambahan lagi, teknik percetakan DTG pada ketika itu tidak begitu diperkenalkan di samping harganya yang lumayan tinggi berbanding cetakan menggunakan blok. Walaupun begitu, Encik Shu tetap optimis untuk meneruskan kaedah ini.


Kelebihan utama DTG tidak memerlukan tempahan dengan jumlah yang banyak (tiada MOQ) dan boleh menerima pelbagai artwork dalam satu tempahan. Pelanggan juga boleh menempah sehelai baju dalam tempoh yang singkat bergantung kepada design yang diingini.  Hasil cetakan DTG adalah lebih halus, tahan lama dan tiada had warna. Selain itu, baju yang menggunakan teknik ini juga lebih selesa dipakai.


Contoh desain baju Abih Pikior

“Bukan suatu perkara yang mudah untuk mendapatkan keyakinan daripada pelanggan tetapi Alhamdulillah jumlah pelanggan kami semakin bertambah dari tahun ke tahun,” ujar beliau. 


"Kebanyakan jenama baju yang digunakan adalah yang berkualiti seperti Gildan, FOtheLoom, Mokoia dan beberapa jenama lain," tambah beliau yang pernah mendapat anugerah reseller terbaik Gildan Malaysia pada tahun 2021.


Desain kasut Abih Pikior


Pada tahun 2021, Abih Pikior telah memiliki tiga unit mesin DTG dan dua unit mesin pencetak banner, bunting, stiker dan kad nama. Selain itu, mereka juga tidak hanya menumpu kepada percetakan baju, Abih Pikior turut memperkenalkan cetakan atas kasut kanvas menggunakan teknik DTG. 


Desain kasut Chor Azam oleh Abih Pikior


“Sambutan yang diterima amat menggalakkan sehingga adakalanya kami terpaksa mengehadkan tempahan kerana untuk menghasilkan sepasang kasut memerlukan lebih ketelitian. Tambahan pula, design kasut yang dihasilkan adalah rare dan unik,” kata Encik Shu.


“Kami juga mempunyai platform di shopee yang dikenali sebagai Infinitees Wearhouse yang mempunyai lebih 500 design baju-baju vintage dan band antarabangsa”, ujar beliau lagi.


 Printer Abih Pikior

Bermula awal tahun ini, Abih Pikior akan membuka lagi satu cabang perniagaan iaitu Dah Pikior Studio yang terletak di ruang atas syarikat Abih Pikior. Mereka juga mempunyai jurufoto berpengalaman untuk para pelanggan yang ingin mengabadikan momen mereka bersama yang tersayang. Para pelanggan diberi pilihan untuk mencetak foto mereka di atas kanvas, baju atau beg.


Studio Abih Pikior


Harapan Encik Shu supaya dapat melihat Abih Pikior semakin maju dan lebih dikenali ramai walaupun hanya bertapak di pekan kecil. Beliau turut berharap agar legasi ini akan diwarisi oleh anak-anaknya sendiri pada masa akan datang. Walau bagaimanapun, anak sulung beliau sudah mula bekerja di syarikat Abih Pikior yang juga berminat dalam bidang percetakan.


“Jutaan penghargaan kepada para pelanggan kami yang telah memberikan sokongan sejak dari awal penubuhan kami. Terima kasih yang tidak terhingga di atas komitmen semua kakitangan Abih Pikior yang sudah saya anggap sebagai keluarga sendiri”, ujar pemilik Abih Pikior Printing Expert ini mengakhiri sesi temubual.


Comments

Popular posts from this blog

"Kisah Inspirasi: Dari peniaga online, kini memiliki dua buah restoran mewah di Kuala Kangsar"

PERSIAPAN PESTA SUKAN AYOR KUALA KANGSAR